
Tentera Israel Langgar Perjanjian Gencatan Senjata, Bakar Rumah & Ladang Di Selatan Lubnan
Israel sepatutnya menyelesaikan pengunduran dari Selatan Lubnan pada 26 Januari lalu tetapi mereka enggan mematuhinya menyebabkan tarikh akhir dilanjutkan hingga 18 Februari.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tentera Israel dilaporkan telah membakar beberapa rumah dan sebuah ladang di Selatan Lubnan pada semalam (12 Februari).
Menurut Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Lubnan (NNA), rejim Zionis itu membakar rumah-rumah di bandar sempadan Al-Aadaissah selain melepaskan tembakan ke pinggir bandar Bint Jbeil.
Malah, lapor media tempatan itu sebuah ladang di Aita al-Shaab turut diletupkan oleh tentera Israel. Namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.
Israel langgar perjanjian gencatan senjata hampir 900 kali
Meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 27 November tahun lalu, laporan sama menyebut Israel telah melanggar perjanjian tersebut sebanyak hampir 900 kali.
Pelanggaran ini telah menyebabkan ramai terkorban, termasuk wanita dan kanak-kanak di Lubnan.
Serangan terbaru ini menimbulkan kebimbangan terhadap keengganan Israel untuk berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Israel sepatutnya menyelesaikan pengunduran pada 26 Januari lalu tetapi mereka enggan mematuhinya menyebabkan tarikh akhir dilanjutkan hingga 18 Februari.
Pelanggaran yang berterusan ini menimbulkan keraguan mengenai komitmen Israel dalam mematuhi gencatan senjata dan mengurangkan ketegangan di rantau berkenaan.
Perjanjian gencatan senjata Israel dan Hamas
Perjanjian gencatan senjata ini dimeterai bagi menghentikan keganasan yang berlaku di antara Israel dan Hezbullah yang telah berkembang menjadi konflik berskala penuh sejak September 2024.
Bagaimanapun, perkara itu berkait rapat dengan perjanjian gencatan senjata yang lebih luas antara Israel dan pejuang Hamas yang telah diaturkan sebelum ini oleh pihak antarabangsa termasuk Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.
Perjanjian ini bertujuan untuk menamatkan serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza yang bermula sejak bulan Oktober 2023.
Antara syarat utama perjanjian gencatan senjata itu adalah:
- Menghentikan sementara pertempuran.
- Membebaskan tahanan perang yang ditahan oleh Hamas secara berperingkat sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
- Membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza
- Pengunduran tentera Israel dari beberapa bahagian Gaza dan selatan Lubnan.
Walaupun gencatan senjata ini berjaya mengurangkan peperangan secara langsung, pelanggaran yang berterusan yang dilakukan rejim Zionis menunjukkan bahawa ketegangan di rantau itu masih lagi tinggi.
Baca Artikel Berkaitan: Israel & Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Fasa Pertama Bermula Ahad Ini
Baca Artikel Berkaitan: Cadangan Trump Pindahkan Penduduk Gaza Adalah Satu Bentuk ‘Pembersihan Etnik’ – PBB