
Kerajaan Tak Setuju Cadangan Wujudkan Menteri Agama Bukan Islam – PMX
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, cadangan tersebut tidak diterima oleh Jemaah Menteri dan melihatnya sebagai pandangan peribadi Ahli Parlimen Raub.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama.
Kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara unik di mata kebanyakan orang.
Namun kebelakangan ini, timbul isu selepas timbulnya cadangan untuk mewujudkan Garis Panduan kepada umat Islam yang ingin menghadiri perayaan orang non-muslim.
Apa yang berlaku menyebabkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua menjadi Islam dan Bukan Islam.
Jelas Chow, ia penting bagi mengukuhkan lagi perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Jemaah Menteri Tak Setuju, Anggap Cadangan Pandangan Peribadi Ahli Parlimen
Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi hal ehwal bukan Islam.
Jelas Anwar, cadangan tersebut tidak diterima oleh Jemaah Menteri dan melihatnya sebagai pandangan peribadi ahli parlimen berkenaan.
“Kita ada Menteri Agama, Menteri Perpaduan, ada jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum, semua agama di Malaysia, jadi saluran itu memadai.
“Soal pelantikan itu (jawatan Menteri) pun budi bicara Perdana Menteri, dan ia tiada dalam perkiraan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Cadangan Bukan Pendirian DAP, Kata Fahmi Fadzil
Dalam pada itu, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menjelaskan cadangan tersebut bukanlah pendirian Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Ia dijelaskan sendiri oleh pemimpin parti berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada hari ini (14 Februari).
“Perkara ini ada dibincangkan dan ia tidak pernah berbangkit, malah ketua parti beliau (DAP) sendiri mengatakan itu bukan pendirian parti, tetapi sebagai seorang ahli Parlimen,” katanya yang juga dipetik dari Sinar Harian.
Mekanisme Jawatankuasa Harmoni Telah Diwujudkan, Bincang Isu Perpaduan
Tambah Fahmi yang juga merupakan Menteri Komunikasi, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mempunyai mekanisme jawatankuasa harmoni yang menjadi platform menghimpunkan wakil daripada pelbagai agama di Malaysia untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan.
“Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan,” katanya.
Terdahulu, Chow mencadangkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua sewaktu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu (12 Februari) lalu.
Cadangan tersebut dikritik banyak pihak. Bahkan Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda turut mempersoalkan cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai kenyataan jelik.
“Pemimpin beginilah yang menjauhkan orang Melayu Muslim kita dari Pakatan Harapan (PH) termasuklah AMANAH. Pimpinan PH terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tegas dan ‘put a stop’ dari pemimpin begini untuk terus keluarkan kenyataan yang jelik sebegini,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Bukan Islam: JAKIM Jelas Sedang Muktamadkan Garis Panduan
Baca Artikel Berkaitan: Ngeh Koo Ham Yakin Cadangan Penglibatan Pakar Perlembagaan Bukan Islam Jadi Punca Rumah & Kereta Dibakar