fbpx
Now Reading
Penjawat Awam Kerja Setakat 12.30 Tengah Hari Setiap Jumaat Sepanjang Ramadan – Sultan Pahang

Penjawat Awam Kerja Setakat 12.30 Tengah Hari Setiap Jumaat Sepanjang Ramadan – Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Bertitah, keputusan waktu kerja itu dipersetujui dan diluluskan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Februari lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Dalam sedar tak sedar, tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan yang dijangka tiba pada 2 Mac ini.

Sebelum tibanya bulan mulia itu, sudah pasti ada di antara kita yang telah melakukan persiapan dengan membeli barangan-barangan dapur untuk dimasak ketika sahur dan berbuka. Malah, ada juga yang sudah membeli baju raya.

Mana tidaknya, sepanjang bulan Ramadan nanti sudah pasti badan akan berasa letih serta lesu kerana berpuasa dan jadual kerja yang padat.

Penjawat awam Pahang kerja setakat 12.30 tengah hari pada Jumaat sepanjang Ramadan

Pun begitu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam (13 Februari) telah memperkenankan waktu bekerja bagi penjawat awam di negeri itu berakhir jam 12.30 tengah hari pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan ini.

Baginda bertitah, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam beragama Islam untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memuliakan penghulu segala hari itu dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Titah baginda lagi, keputusan ini juga telah dipersetujui dan diluluskan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Februari lalu.

“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan, di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari.

“Saya berharap semua akan menunaikan solat Jumaat. Jangan siapa-siapa ponteng pula,” titah baginda dipetik Berita Harian.

Sultan Pahang ingatkan umat Islam gunakan waktu di bulan Ramadan sebaiknya

Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.

“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.

“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. IImu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.

Sebagai info, kerajaan Johor sebelum ini menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat untuk sektor awam dan swasta dipanjangkan dari 1 jam 30 minit kepada dua jam bermula 1 Januari 2025.

Ini selepas cuti hujung minggu Johor ditukar dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.