
Kasih Ibu Hingga Akhir Hayat, Wanita Maut Nahas Ketika Dalam Perjalanan Bawa Anak Ke Hospital
Difahamkan, mangsa asalnya ingin membawa anaknya yang jatuh motosikal ke Klinik Kesihatan Changlun tetapi tidak beroperasi berikutan cuti hujung minggu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ibu mana yang tidak sayangkan anak, bahkan mereka sanggup berkorban apa sahaja demi melihat insan yang dikasihi itu bahagia.
Malah, ibu jugalah akan menjadi orang yang paling risau sekiranya anak-anaknya jatuh sakit dan sebagainya. Kalau boleh ingin sepantas kilat bawa pergi ke hospital untuk diberi rawatan.
Memang benarlah, kasih ibu hingga ke akhir hayat.
Ibu maut terlibat kemalangan semasa ingin hantar anak ke hospital
Seperti baru-baru ini, seorang wanita warga emas dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan semasa dia ingin menghantar anak lelakinya yang cedera akibat terjatuh motosikal.
Memetik Berita Harian, kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu wanita itu terlanggar lori di persimpangan lampu isyarat Hosba, Jitra pada Sabtu lalu (15 Februari).
Difahamkan, mangsa asalnya ingin membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Changlun tetapi tidak beroperasi berikutan cuti hujung minggu.
Ibu panik lihat keadaan anak terus bergegas menuju Hospital Jitra
Wanita itu dikatakan panik melihat keadaan anaknya dan bergegas ke Hospital Jitra sebelum terbabit nahas berkenaan.
Mangsa dipercayai masih bernyawa ketika dibawa ke hospital manakala anaknya hanya mengalami kecederaan akibat kemalangan sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Asisten Komisioner Mohd Redzuan Salleh berkata, kemalangan jam 2 petang itu membabitkan lori jenis Isuzu dengan Perodua Axia.
Lori ingin belok ke kanan ketika dirempuh mangsa
Menurutnya, lori dari Jitra ke Kubang Betong itu dipercayai ingin membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat Hosba ketika lampu isyarat hijau.
“Ketika itu, Perodua Axia dipandu warga emas berusia 69 tahun itu bersama anak lelakinya yang berusia 47 tahun datang dari arah bertentangan dan tidak berhenti ketika lampu merah.
“Berikutan itu, kereta terbabit berlanggar dengan lori terbabit.
“Kejadian menyebabkan pemandu Perodua Axia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra,” katanya.
Berkongsi lanjut, Mohd Redzuan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.