
Penjual Jagung Tampal Notis Berbaur Perkauman Sudah Minta Maaf – Menteri Perpaduan Negara
Menteri agama, Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini turut menasihati orang ramai agar menghormati sensitiviti kepelbagaian etnik dan agama masyarakat di Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah 67 tahun Malaysia merdeka dan hidup harmoni dengan saling menghormati antara pelbagai kaum, bangsa dan agama. Namun masih ada individu berfikiran sempit yang bersikap rasis dan mencetus isu perkauman.
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang peniaga jagung bakar di Kota Warisan, Sepang yang menampal notis ‘maaf ini jagung tiada jual sama orang ke**ng’ di tempat jualannya sehingga menimbulkan kemarahan ramai.
Isu terbabit kemudiannya mendapat perhatian Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyatakan tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama tidak boleh diterima serta dikompromi.
Peniaga jagung bakar tampil mohon maaf
Terbaharu, peniaga jagung bakar terbabit dikatakan sudah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya.
Aaron menerusi menerusi hantaran di akaun X miliknya berkata, peniaga itu juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan pada masa akan datang.
“Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu Encik Roseman dan Encik Syawal telah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan polemik ini.
“Peranan mereka dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesaian masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara,” katanya.

Permohonan maaf dilakukan di hadapan wakil masyarakat India
Menurutnya, permohonan maaf itu diadakan di sebuah restoran di Sepang semalam (16 Februari) yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.
“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza.
*AHLI KRT MENJADI ORANG TENGAH*
— Aaron Ago Dagang (@AaronAgoDagang) February 17, 2025
Susulan insiden seorang penjual jagung meletakkan papan tanda berunsur perkauman yang telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu Encik Roseman dan Encik Syawal telah menjadi… pic.twitter.com/nDkM6b8569
Menteri agama nasihat orang ramai hormati sensitiviti etnik dan agama
Sebelum ini, isu penjual jagung terbabit turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im menasihati orang ramai supaya menghormati sensitiviti kepelbagaian etnik dan agama masyarakat di negara ini dan mengelakkan perbuatan yang boleh mencetuskan kemarah sesuatu kaum.
“Saya sudah banyak kali sebut bahawa kita perlu berhati-hati dalam setiap perkataan, perbuatan dan sensitiviti kaum lain.
“Nama pun sensitif, jadi masyarakat perlu berhati-hati dengan apa sahaja perkataan atau perbuatan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum lain. Jadi hormat-menghormati itu sangat diperlukan,” katanya dipetik Sinar Harian.