fbpx
Now Reading
“Sama Seperti Tahun Sebelum Ini” – KPM Jelaskan Sekolah Sesi Petang Tamat Awal Ketika Ramadan

“Sama Seperti Tahun Sebelum Ini” – KPM Jelaskan Sekolah Sesi Petang Tamat Awal Ketika Ramadan

Menurut KPM, pihaknya menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Apabila tiba bulan Ramadan, rata-rata majikan pasti akan membenarkan pekerjanya untuk pulang lebih awal sedikit demi persiapan berbuka puasa.

Pelajar sekolah juga tidak terkecuali apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan pulang seawal jam 5.30 petang di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, sekolah sesi petang akan ditamatkan seawal jam 5 petang. Sebaliknya sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa ketika Ramadan.

Waktu Operasi Sekolah Ketika Ramadan Sama Seperti Dalam Surat Siaran

Terbaharu, KPM menerusi hantaran di Facebook menegaskan bahawa pengoperasian sekolah ketika bulan Ramadan adalah seperti dalam surat siaran yang telah disediakan sebelum ini.

“KPM menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.

“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini,” katanya dipetik Berita Harian.

JPN Diminta Ingatkan Pengetua & Guru Besar Patuhi Surat Siaran – KPM

Menerusi kenyataannya, KPM mengambil serius hantaran yang cuba ditularkan sesetengah pihak berkenaan pengoperasian waktu sekolah sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Tambahnya lagi, berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai, waktu sekolah ketika Ramadan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM adalah sama seperti tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, KPM juga memaklumkan agar Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri mengingatkan para pengetua dan guru besar di sekolah terbabit agar mematuhi surat siaran tersebut.

Menurut laporan Berita Harian, KPM turut menasihati orang awam agar merujuk kepada maklumat rasmi oleh kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh sesetengah pihak.

Fahlina Sidek Mohon Semua Pihak Rujuk Garis Panduan Oleh KPM

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, mengeluarkan kenyataan bahawa waktu sesi persekolahan ketika bulan Ramadan kekal seperti biasa.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa kantin juga akan beroperasi seperti biasa dalam bulan puasa itu.

Dalam masa sama, Fadhlina turut memohon semua pihak agar merujuk dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh kementeriannya, termasuk bagi sepanjang bulan puasa.

Isu ini kemudiannya menjadi tular di media sosial sehingga menarik perhatian banyak pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Baca Artikel Berkaitan: Sesi Persekolahan & Waktu Operasi Kantin Ketika Ramadan Seperti Biasa – Fadhlina Sidek

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.