
Larangan Polis Terhadap Dr Zakir Naik Sudah Ditarik Balik – Saifuddin
Menurut Menteri Dalam Negeri, larangan pada 2019 itu adalah susulan kepada siasatan polis yang sedang berjalan terhadapnya membabitkan dua perkara menyentuh sensitiviti kaum.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, kecoh mengenai isu pertikaian Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer terhadap jemputan pendakwah, Zakir Naik pada program Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Januari lalu.
Rayer membangkitkan isu kemunculan semula Zakir kerana mendakwa pendakwah itu masih diburu pihak berkuasa dan dilarang berceramah di Malaysia.
Susulan itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) dalam respon balasnya menyatakan Rayer tidak sepatutnya mempersoal siapa yang dijemput untuk ke majlisnya sama seperti dia tidak pernah mempersoal ahli parlimen DAP itu apa yang dicalit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.
Larangan polis terhadap Dr Zakir sudah ditarik balik
Terbaharu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa larangan dikenakan polis terhadap pendakwah bebas itu pada 2019 sudah ditarik balik.
Saifuddin berkata larangan pada 2019 itu adalah susulan kepada siasatan polis yang sedang berjalan terhadapnya membabitkan dua perkara menyentuh sensitiviti kaum.
“Saya difahamkan larangan ketika itu dibuat susulan siasatan yang sedang dilakukan sebab beliau mengeluarkan ucapan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Mengikut rekod yang ada, dua perkara disebut beliau di Kota Bharu dan Perlis menyentuh sensitiviti kaum. Namun kini larangan itu tiada lagi,” katanya dipetik Berita Harian.
Saifuddin menjelaskan tentang perkara itu ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini (20 Februari).
Rayer rasa terhina dengan kenyataan Maza
Terdahulu, Rayer mengakui terhina dengan kenyataan Dr Maza yang menyentuh mengenai abu suci yang disapu di dahinya sebagai penganut agama Hindu.
Menurutnya, dia hanya membangkitkan mengenai isu kebenaran untuk Zakir Naik berceramah di Perlis dan tidak sama sekali menghina Mufti Perlis mahupun pendakwah itu.
“Saya tanya dia (Mohd Asri) kenapa dia keluarkan kenyataan begitu. Saya tak hina sesiapa, saya tak hina Dr Maza, saya tak hina Zakir.
“Saya hanya tanya apakah Zakir Naik sudah boleh bagi ucapan, sebab itu tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen untuk bertanya bila saya tahu ada larangan (Zakir berucap),” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Tanda Di Dahi: MP Jelutong Akui Rasa Terhina Dengan Kenyataan Mufti Perlis [Video]