fbpx
Now Reading
4 Pegawai Bekas PM-9 Ditahan SPRM, Ahmad Zahid Yakin Siasatan Dijalankan Dengan Adil

4 Pegawai Bekas PM-9 Ditahan SPRM, Ahmad Zahid Yakin Siasatan Dijalankan Dengan Adil

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, beliau juga akan melawat Ismail Sabri dalam jangka masa terdekat ini yang kini berada di hospital selepas dilaporkan pengsan di kediamannya pada awal pagi Sabtu lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Baru-baru ini, kecoh laporan mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menahan empat bekas pegawai yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber rapat SPRM mengesahkan penahanan empat pegawai terbabit dan sudah mendapat perintah reman ke atas mereka di Mahkamah Putrajaya kelmarin (22 Februari) oleh Majistret Irza Zulaikha.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a Akta SPRM, lapor Harian Metro.

Ahmad Zahid yakin SPRM jalankan siasatan dengan adil

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pihak SPRM akan menjalankan siasatan dengan lengkap mengenai perkara tersebut.

Presiden UMNO itu berkata, sudah tentu SPRM menjalankan siasatan tersebut dengan penuh keadilan dan berpegang kepada integriti yang menjadi pegangan agensi berkenaan.

“Kita yakin bahawa SPRM akan menjalankan segala proses perundangan dan siasatannya lengkap.

“Kita harap mereka melakukan keadilan dan kita harap bahawa kreadibiliti yang selama ini adalah sesuatu yang menjadi garis bawah terutama kepada SPRM akan dapat dipegang dengan penuh integriti,” katanya dipetik Sinar Harian.

Ahmad Zahid akan melawat Ismail Sabri yang kini berada di hospital

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga menyatakan akan melawat Ismail Sabri yang kini berada di hospital dalam masa terdekat.

“Saya mendapat tahu semalam dan saya tidak ada kesempatan sehingga malam tadi kerana ada acara. Hari ini saya berada di Tawau dan esok saya berada di Kota Kinabalu dan saya akan menziarahi beliau secepat mungkin,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 di Kompleks Sukan Tawau semalam.

Ismail Sabri dimasukkan ke hospital selepas pengsan di rumah

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu dimasukkan ke hospital selepas pengsan di kediamannya pada awal pagi Sabtu lalu.

Setiausaha Akhbar beliau Azran Fitri Abdul Rahim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Ismail Sabri kini dalam keadaan stabil.

“Saya dimaklumkan Datuk Seri (Ismail Sabri) pengsan di rumahnya dan dibawa ke hospital kira-kira 2.30 pagi untuk rawatan,” katanya kepada Bernama.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.