
Elak Beli Gula-gula Tiada Jenama & Label, Pakar Mohon Ibu Ayah Lebih Peka Isu Kandungan Snek Anak
Menurut Pakar Toksikologi, Prof Dr Mustafa Ali turut menasihatkan ibu bapa jangan membeli gula-gula yang murah, mempunyai warna terang serta terlalu manis untuk si kecil kerana mengundang bahaya kepada kesihatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan kisah membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 10 tahun yang tercekik disebabkan makan gula-gula kenyal iaitu ‘gummy’ berbentuk mata.
Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 20 Februari yang lalu.
Perkara itu, secara tidak langsung membuatkan orang ramai berasa sedih serta bersimpati dengan keluarga kanak-kanak berkenaan.
Susulan daripada insiden tersebut, terdapat beberapa pihak yang melarang penjualan gula kenyal itu di mana-mana platform kerana menyalahi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Kanak-kanak Tercekik ‘Gummy Mata’ Hilang Semangat Lihat Anak Kritikal
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak Tercekik ‘Gummy Mata’ Meninggal Dunia
Pakar nasihatkan orang ramai jangan beli gula murah dan tiada label kerana ada bahan bahaya
Terbaharu Pakar Toksikologi, Prof Dr Mustafa Ali Mohd turut meminta orang ramai untuk tidak membeli gula-gula yang murah yang dijual tanpa kawalan kerana ia mempunyai bahan bahaya kimia.
“Kalau nampak terlalu murah, berwarna terang dan rasa terlalu manis, jangan beli!” ujarnya.
Menurut beliau, gula-gula berkenaan mengandungi bahan bahaya seperti pewarna industri, pemanis tiruan yang juga boleh membahayakan kesihatan khususnya kanak-kanak.
“Sebenarnya banyak gula-gula ada bahan bahaya, terutamanya yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ada yang menggunakan pewarna untuk tekstil dan kayu,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Siap ada bahan khas yang boleh meningkatkan risiko tercekik atau tersedak
Apa yang lebih merisaukan, terdapat gula-gula yang mengandungi bahan khas seperti boleh mengembang apabila terkena air liur. Perkara ini secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi risiko tersedak.
“Bila terkena air liur, ia kembang dan melekat di tekak, menyebabkan saluran pernafasan tersumbat. Ini yang boleh membawa maut, bukan sebab bahan toksik semata-mata.”
Selain itu, beliau juga mendedahkan bahan toksik di dalam makanan manis juga boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan sekiranya diambil dalam tempoh yang panjang.
Mengundang kesan buruk kepada kesihatan
Antara kesan buruk adalah boleh merosakkan hati disebabkan badan tidak dapat menyingkirkan bahan berkenaan.
Sekiranya terkumpul perkara itu boleh sampai ke otak kemudian mendatangkan pelbagai penyakit.
Bukan hanya itu, bahan pewarna tiruan juga didakwa boleh mengakibatkan berlaku masalah saraf, alahan, serta gangguan hormon khususnya kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk berhati-hati dalam memilih atau membeli gula-gula buat anak mereka.
“Kalau nampak harga tak masuk akal murahnya, itu petanda ia guna bahan bukan makanan. Elakkan beli produk yang tiada jenama dan label kandungan lengkap,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, terdapat peniaga yang cuba untuk mengaburi pelanggan apabila tidak meletakkan maklumat sebenar seperti kandungan di bahagian pembungkusan produk.
“Kadang-kadang kita tengok label, tapi bahan sebenar tak dinyatakan. Sebab itu penting untuk pilih produk yang ada jenama dan melalui kawalan pihak berkuasa.”
Buat semakan terlebih dahulu sebelum beli produk makanan seperti gula-gula
Prof Dr Mustafa turut menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pemakanan si kecil.
Meskipun perkara itu akan membuatkan mereka menangis ia adalah lebih baik daripada memberikan si kecil makan makanan yang mengundang kepada masalah kesihatan.
Selain itu, Prof Dr Mustafa juga menyarankan orang ramai untuk membuat semakan mengenai produk dalam talian atau membuat rujukan kepada KKM untuk memastikan ia selamat sebelum bertindak membelinya.
“Jangan mudah terpedaya dengan rupa dan rasa, yang penting kesihatan jangka panjang. Sebaiknya elakkan terus gula-gula murah yang tak diketahui sumbernya,” ujar pakar itu lagi.