fbpx
Now Reading
8 Petugas MAPIM Syahid Dalam Serangan Udara Di Gaza

8 Petugas MAPIM Syahid Dalam Serangan Udara Di Gaza

MAPIM menegaskan serangan itu adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi penduduk awam di zon konflik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sabtu lalu (15 Mac), seramai lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) syahid dalam serangan udara tentera Israel di Baeit Lahiya, utara Gaza.

Memetik laporan Awani, serangan terbabit berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal.

Berikut nama 8 petugas yang terkorban:

  1. Mahmoud Yahya Al-Sarraj
  2. Bilal Hossam Oqeila
  3. Mahmoud Samir Oselim
  4. Mahmoud Khaled Oselim
  5. Mohammed Al-Ghafeer
  6. Hazem Ghareeb
  7. Bilal Abu Matar
  8. Ahmad Hamad

Ketua MAPIM kutuk serangan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu

Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby menerusi satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya serangan terbabit yang disifatnya sebagai satu jenayah perang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Tindakan menyerang petugas kemanusiaan adalah satu perbuatan terkutuk dan jenayah perang paling keji.

“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa tetapi turut menjejaskan misi kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Rakyat Malaysia digesa adakan doa Qunut Nazilah

Susulan itu, MAPIM menggesa rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara di Gaza.

Berkongsi lanjut, Sani berkata dia dan rakan strategiknya, Al-Khair Foundation sangat terkejut serta berduka cita dengan kehilangan anggota misi lapangan termasuk tiga petugas media yang bertanggungjawab dalam dokumentasi operasi bantuan kemanusiaan di Gaza.

“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.

“MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat, termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” katanya lagi.

Serangan Israel adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa

Pada masa sama, MAPIM juga menegaskan serangan itu adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi penduduk awam di zon konflik.

Sani turut menyeru agar masyarakat antarabangsa segera bertindak menghentikan keganasan berkenaan selain memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa serta keluarga mereka.

Sani pada masa sama turut menggesa pemimpin dunia, badan kemanusiaan serta masyarakat antarabangsa untuk mengecam tindakn tersebut serta menuntut pihak terlibat untuk bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar serangan ke atas Gaza, tetapi satu serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri ketika nyawa yang tidak berdosa terus menjadi korban,” ujarnya.

MAPIM menegaskan bahawa insiden yang berlaku ini sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus komited dalam usaha memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Untuk info, MAPIM telah berjaya mendirikan 1,000 khemah bagi menempatkan pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara berterusan di Gaza.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.