
Hormati Malam Terakhir Ramadan, Terengganu Melarang Sebarang Aktiviti ‘Busking’ Selama 10 Hari
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah larangan itu dikuat kuasa bermula 20 Mac sehingga akhir bulan ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tanpa disedari bulan puasa bakal melabuhkan tirainya apabila kita kini telah memasuki 10 Ramadan terakhir.
Apabila memasuki 10 malam terkahir Ramadan pasti ramai yang mempersiapkan diri dengan lebih banyak amalan dan ibadah kerana ingin mengejar malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Bukan hanya itu, tidak kurang juga ada yang bersedih kerana Ramadan bakal berakhir kerana bulan mulia ini membawa pelbagai ganjaran dan barakah kepada mereka yang beramal kepada Allah SWT.
Terengganu larang aktiviti hiburan seperti ‘busking’ selama 10 hari untuk hormati malam terakhir Ramadan
Susulan daripada itu, kerajaan negeri Terengganu telah bertindak untuk melarang sebarang aktiviti hiburan seperti muzik jalanan atau turut dikenali sebagai ‘busking’ selama 10 hari di seluruh kawasan negeri berkenaan.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri iaitu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah larangan itu dibuat untuk menghormati 10 malam terakhir Ramadan.
Menurut beliau larangan berkenaan tidak dilakukan berterusan untuk sepanjang tahun seperti kekeliruan atau salah faham kumpulan muzik jalanan.
“Semua pengusaha premis perniagaan, penganjur moreh, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri diminta mematuhi arahan untuk tidak mengadakan aktiviti hiburan oleh ‘busking’ atau pemuzik jalanan.
“Larangan itu juga bukan hanya membabitkan aktiviti dan persembahan hiburan dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), sebaliknya di seluruh negeri,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Kuat kuasa bermula 20 Mac hingga akhir bulan
Jelasnya lagi, larangan terbabit telah berkuat kuasa pada 20 Mac sehingga akhir bulan ini.
Beliau dalam masa turut meminta semua pihak untuk bekerjasama dalam melakukan larangan tersebut.
“Semua pemilik pasaraya, penganjur program moreh, bazar ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri diminta memberi kerjasama bagi memastikan semua aktiviti persembahan hiburan tidak beroperasi pada masa dan tarikh ditetapkan.
“PBT akan mengambil tindakan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang kerajaan tempatan.”
Dalam pada itu, Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif memaklumkan surat larangan untuk aktiviti berkenaan juga telah diedarkan pihaknya kepada semua pemilik premis pasaraya serta penganjur program moreh, bazar Ramadan termasuk bazar Aidilfitri.
“Bagi memastikan arahan itu dipatuhi, pegawai dan anggota penguatkuasa MBKT akan melakukan rondaan di semua pasaraya, tapak aktiviti moreh dan bazar ramadan serta aidilfitri,” ujarnya.