
Polis Siasat Kes Tular Lelaki Tampar Kepala Penunggang Motosikal 6 Kali [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Di bulan Ramadan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan dalam mengejar ganjaran pahala.
Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga, orang yang berpuasa juga perlulah banyak bersabar.
Jika tiada rasa sabar dalam diri, tidak mustahil jika seseorang itu boleh hilang kewarasan sehingga bertindak di luar kawalan.
Tular lelaki tampar kepala penunggang motosikal 6 kali
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki dilihat berada dalam keadaan berang sehingga bertindak menampar kepala seorang penunggang motosikal.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun Instagram @kini.trending.my, kejadian dikatakan berlaku pada Ahad lalu (23 Mac) di persimpangan lampu isyarat sebuah kawasan jalan di Johor Bahru.
Lelaki terbabit pada mula dilihat memarahi menggunakan mulut dan memukul kepala mangsa sebanyak enam kali sebelum beredar ketika lampu isyarat bertukar hijau.
Polis mulakan siasatan, terima laporan daripada mangsa
Terbaharu, pihak polis sudah memulakan siasatan berhubung insiden yang dipercayai perselisihan faham itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan mengesahkan telah menerima laporan polis dibuat mangsa.
Menurutnya, mangsa yang berusia 29 tahun membuat laporan polis pada jam 4.29 petang mendakwa kejadian berlaku jam 4.40 petang semalam (24 Mac) di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
“Mangsa warga tempatan sedang menunggang motosikal berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut menunggang motosikal dan berhenti di persimpangan itu.
“Mangsa dipukul beberapa kali di bahagian kepala oleh lelaki berkenaan sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian,” katanya dipetik Berita Harian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 KK
Menurutnya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
Balveer Singh pada masa sama turut menasihati orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang.
“Bertindak rasional dan serahkan kepada pihak berkuasa. Hindari keganasan, patuhi undang-undang,” tegasnya.