fbpx
Now Reading
Isu Pindah Kuil Selesai, Tapak Baharu 50 Meter Dari Lokasi Asal – Dr Zaliha

Isu Pindah Kuil Selesai, Tapak Baharu 50 Meter Dari Lokasi Asal – Dr Zaliha

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengesahkan lokasi terbaharu tersebut akan diwartakan untuk kegunaan kekal Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak minggu lalu, kecoh mengenai isu binaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik pembekal tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd di Masjid India.

Difahamkan, terdapat cadangan untuk memindahkan rumah ibadat Hindu itu bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani.

Bagaimanapun, perkara terbabit tidak berakhir dengan mudah apabila terdapat pihak yang tidak bersetuju untuk memindahkan kuil berkenaan.

Pun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan merasmikan majlis pecah tanah masjid pada Khamis ini (27 Mac).

Baca Artikel Berkaitan: Anwar Sahkan Akan Rasmi Majlis Pecah Tanah Masjid Madani Hari Khamis Ini

Isu pindah kuil akhirnya selesai

Terbaharu, isu tersebut akhirnya selesai apabila pihak pengurusan kuil bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Ser Dr Zaliha Mustafa berkata, tapak baharu itu berkeluasan 4,000 kaki persegi yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal.

“Keluasan tapak ini setara dengan saiz kuil sedia ada. Tapak ini merupakan sebahagian lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.

“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuatkuasa dan pihak kuil juga bersetuju dengan perkara ini,” katanya dipetik Harian Metro.

Kuil sekarang dibenarkan beroperasi sehingga proses penempatan semula selesai

Menurutnya, kerajaan juga mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan terhadap struktur kuil sedia ada.

Kata Dr Zaliha, kuil berkenaan akan terus dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni.

Isu ini tidak boleh dijadikan ‘precedent case’ untuk rumah ibadat lain

Beliau berkata lagi, kerajaan juga ingin menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes ini sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi untuk rumah ibadat lain.

Menurutnya lagi, setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Semua pihak dinasihati tidak memanipulasi, mainkan sentimen perkauman dan keagamaan

Ujar Dr Zaliha, kerajaan turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

“Polemik ini harus dihentikan segera. Marilah kita semua terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara,” katanya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengesahkan lokasi terbaharu tersebut akan diwartakan untuk kegunaan kekal Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Namun memetik FMT, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, setakat ini belum ada butiran lanjut berhubung perkara itu dimaklumkan.

Sementara itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong menganggarkan nilai tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi itu adalah sekitar RM10,000.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.