
Ah Long Makin Kreatif, Guna Tarian Singa Takutkan Penghutang Di Johor
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok akan membantu dua persatuan tarian singa yang telah diperguna ah long untuk membuat laporan polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Di Malaysia, syarikat yang memberi pinjaman wang tidak berlesen atau lebih dikenali dengan panggilan Ah Long cukup terkenal dengan pelbagai cara kotor digunakan dalam menagih hutang.
Antara cara yang sering digunakan oleh mereka adalah seperti mengugut dengan menyimbah cat, merampas harta, menghantar mesej tanpa henti dan sebagainya.
Bagaimanapun, saban hari, ceti haram ini dilihat semakin kreatif dalam memungut hutang dan mengingatkan peminjam untuk membayarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Ah Long Di Johor Minta Hutang Pakai Sepanduk & Pembesar Suara, Siap Guna 3 Bahasa [Video]
Ah long guna tarian singa ingatkan peminjam untuk bayar hutang
Seperti baru-baru ini, tular laporan kumpulan skim pinjaman wang tidak berlesen di Johor menggunakan tarian singa untuk memberi peringatan kepada peminjamnya.
Menurut Must Share News yang memetik The Star, dua persatuan tarian singa di Malaysia mendakwa telah diperdaya untuk membuat persembahan di rumah persendirian dengan alasan sebagai kejutan hari jadi sebelum menyedari mereka telah diperguna untuk mengutip hutang.
Ketua Persatuan Tarian Singa dan Naga Hua Yi Kulai, Lai En Liang berkata, kumpulannya menjadi mangsa selepas menerima tempahan untuk satu persembahan kejutan hari jadi di Taman Johor Jaya pada 6 April lalu.
Ah long guna servis persatuan tarian singa, siap tawar kerja ‘hiburkan’ peminjam
Menurutnya, pemanggil meminta agar persembahan tersebut dirakam dan mendakwa seorang individu di lokasi berkenaan akan menguruskan bayaran untuk pakej yang bernilai RM1,388 itu.
Jelas Lai, semasa persembahan berlangsung seorang wanita telah keluar dari rumah dalam keadaan keliru serta memberitahu bahawa tiada sesiapa dengan nama yang disebut tinggal di situ.

Lebih mengecewakan, Lai berkata ah long berkenaan juga enggan menjelaskan bayaran dan sebaliknya bertanya jika mereka berminat untuk ‘menghiburkan’ penghutang lain dengan menawarkan bayaran RM1,000 bagi setiap lawatan.
Satu lagi kumpulan tarian singa, Hok Quan Lion Dance Johor Bahru juga menjadi mangsa kepada penipuan yang sama.
Terima tempahan saat akhir, ah long tak bayar baki bayaran selepas persembahan
Ketua kumpulannya, Ng How Ching berkata, kejadian hampir serupa terjadi kepada persatuannya semasa menerima tempahan saat akhir pada 4 April lalu untuk membuat persembahan sempena sambutan hari jadi di Taman Pelangi.
Menurut Ng, dia meminta deposit sebanyak RM300 kerana tempahan saat akhir sebelum pelanggan itu memberikan wang berkenaan secara dalam talian dan memberitahu bahawa baki bayaran akan dibuat oleh seseorang di lokasi.
Ng bersama pasukannya yang terdiri daripada 10 penari kemudiannya hadir ke lokasi yang diberi dan membuat persembahan selama 10 minit namun tiada siapa yang menyambut mereka.

Seperti rumah pertama, seorang wanita Indonesia akhirnya keluar dan memberitahu bahawa tiada sesiapa bernama seperti yang disebut tinggal di situ sebelum bertindak menghubungi polis.
Sepasukan peronda polis kemudiannya tiba dan Ng menjelaskan kekeliruan yang berlaku dan beredar dari situ.
Kemudian, mereka kembali ke lokasi dengan harapan dapat menuntut baki bayaran, namun mendapati terdapat satu jambangan bunga takziah diletakkan di pintu masuk, dengan nama wanita tersebut tertera padanya.
Pada ketika itu barulah mereka sedar bahawa mereka telah digunakan untuk menakut-nakutkan penghuni rumah bagi pihak ah long.
MCA Johor tampil bantu persatuan tarian singa jadi mangsa diperguna ah long
Susulan kejadian itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok telah berikrar untuk membantu dua persatuan tarian singa terbabit membuat laporan polis.
Ujar Mok, beliau mahu mengetengahkan perkara ini yang semakin menjadi-jadi untuk memastikan langkah-langkah sewajarnya dapat diambil bagi memastikan persatuan seni budaya ini dilindungi daripada terus dieksploitasi.

Jelasnya, selain dua persatuan itu, terdapat satu lagu kumpulan tarian singa yang turut menjadi mangsa kepada penipuan sama yang disifatkannya sebagai cubaan mengganggu penghutang.
Beliau mengecam penyalahgunaan seni budaya ini, menegaskan bahawa tarian singa sepatutnya melambangkan sambutan, kegembiraan dan niat baik, bukannya intimidasi.
Dalam pada itu, Mok turut menggesa kumpulan tarian singa lain yang mungkin pernah mengalami nasib sama untuk tampil ke hadapan sambil menekankan mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran agar seni warisan ini tidak terus disalahguna.