
Lelaki Muat Naik Video Hina Anwar Ibrahim Ditahan Polis
Lelaki yang bekerja sebagai pembantu pam minyak telah memuat naik video berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri menerusi akaun TikTok miliknya iaitu Mat Pakistan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada masa kini, media sosial sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan harian setiap individu.
Ia bukan hanya sekadar medium perhubungan malah kini menjadi platform penyampaian maklumat tentang sesuatu perkara.
Namun entah mengapa, ada segelintir orang menjadikan ia sebagai medan menyebarkan kebencian dengan cara menghina individu termasuk pemimpin yang kadang kala dilihat boleh menggugat keharmonian negara.
Hina Perdana Menteri, Siap Bagi Gelaran Bang Non & Ketimbang
Terbaharu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis gara-gara memuat naik kandungan video yang berunsur menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, pemuda terbabit ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada Jumaat (11 April) lalu.
Ianya susulan tindakan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pembantu pam minyak itu memuat naik video berunsur penghinaan menerusi akaun TikTok miliknya iaitu Mat Pakistan.
“Suspek telah menggelarkan Perdana Menteri dengan jolokan mengaibkan iaitu ‘Ketimbang’ dan ‘Bang Non’.
“Selain membuat tuduhan bahawa Perdana Menteri hadir ke Bachok pada Sabtu lalu (12 April) semata-mata untuk ‘mengencing’ atau menipu rakyat yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di Pantai Irama,” katanya.
Tambah Mohamad Ismail, lelaki berkenaan turut mengeluarkan kenyataan seolah-olah mengajak orang ramai untuk memboikot kehadiran PMX menerusi video yang disifatkan boleh mecetuskan ketidaktenteraman awam.
Telefon Bimbit Yang Dirampas Turut Ada Kandungan Lucah
Ekoran daripada tangkapan tersebut, polis telah merampas telefon bimbit milik suspek bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Jelas Mohamad Ismail lagi, polis kini menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati telefon tersebut mempunyai kandungan video serta gambar lucah di dalam peranti berkenaan,” katanya.
Suspek Didenda RM4,000 Kerana Miliki Kandungan Lucah
Memetik Berita Harian, suspek mengaku bersalah dan telah didenda RM4,000 atas kesalahan memiliki kandungan lucah dalam telefon bimbit.
Manakala, siasatan berhubung kesalahan menghina Perdana Menteri yang melibatkan ketiga-tiga seksyen masih lagi dijalankan oleh SKMM.
Pada masa yang sama, Mohamad Ismail mengingatkan agar kesemua pemilik media sosial tidak memuat naik hantaran atau kandungan video yang berkaitan 3R (Royal, Race, Religion) hingga boleh menggugat keamanan serta menimbulkan kegusaran orang awam.
Terdahulu, lelaki terbabit telah memuat naik video berdurasi 46 saat yang mengaibkan Anwar Ibrahim.
Malah, dia juga didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat setempat agar tidak menyertai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu.
Video tersebut sebelum ini nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya.
Namun, hasil semakan kami mendapati video dan akaun lelaki berkenaan telahpun dipadam.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Hina Agong, TMJ & PMX: TikToker Rayyan Wong Ditahan
Baca Artikel Berkaitan: Polis Cekup 2 Lelaki Di Kelantan Kerana Hina Agong & Ugut Bunuh PM Anwar