Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebentar tadi mengumumkan 18 dan 19 November ini adalah cuti umum untuk seluruh negara.
Memetik ciapan Sinar Harian di Twitter, keputusan tersebut diambil bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia untuk menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada Sabtu, 19 November ini.
Menurut NST, perkara tersebut diumumkan beliau sewaktu majlis pecah tanah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam dan Awam (Cuepacs) di Presint 18, Putrajaya hari ini.
Tol percuma untuk dua hari
Tambah beliau lagi, kerajaan turut mengumumkan pemberian tol percuma melibatkan 30 konsesi bagi dua hari itu.
Tol percuma akan bermula dari jam 12.01 pagi pada 18 November dan berakhir pada 11.59 malam 19 November.
Mengikut data SPR, seramai 21,173,638 pengundi yang layak dijangka membuang undi di 9,536 pusat pengundian di seluruh negara pada pilihan raya kali ini.
Undian mereka akan menentukan siapakah ahli politik yang akan memenangi 222 kerusi parlimen dan 116 DUN di tiga buah negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.