fbpx
Now Reading
Ini Tips Hadiri Temuduga Online ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam Tempoh PKP

Ini Tips Hadiri Temuduga Online ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam Tempoh PKP

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Meskipun negara kita sedang berdepan wabak Covid-19 dan masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), proses kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tahun ini bagi sesi 2020/2021 tetap diteruskan seperti biasa.

Buat pelajar lepasan SPM 2019, ini adalah tempoh getir di mana kebanyakan mereka pasti sibuk dalam membuat persiapaan bagi menghadiri temuduga di UPU dengan temuduga Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah yang terawal dalam senarai tersebut.

Namun berbeza dari sebelumnya, temuduga kali ini bakal dilakukan secara online. Pasti menimbulkan kerisauan di kalangan calon memandangkan ini adalah sesuatu perkara yang baru buat mereka.

Namun buat memudahkan para calon, di bawah kami kongsikan nukilan seorang guru, yang juga seorang bekas penuntut IPG, Mohd Zulqarnain bin Abdol Rahman yang sudi berkongsi tips dan panduan buat anda semua yang akan menghadiri temuduga IPG tersebut.

Selamat membaca!

Rata-rata pelajar lepasan SPM 2019 sedang heboh tentang temuduga UPU dan paling awal adalah temuduga IPG. Kali ini cukup berbeza dan mencabar kerana temuduga dilakukan secara online akibat tempoh kawalan PKP.

Selaku seorang guru dan bekas alumni IPG iaitu alumni IPG Kampus Darulaman, saya terpanggil untuk membuat sedikit perkongsian tentang tips-tips temuduga kemasukan IPG Tahun 2020.

Saya akan bahagikan tips ini kepada tiga bahagian iaitu :-

Foto : Icedentalimplants UK

1.SESI UJIAN BERTULIS(UKCG)

a.Ujian UKCG ini adalah dilaksanakan secara online di portal yang telah ditetapkan. Para pelajar diminta untuk bersiap sedia 30 minit awal di hadapan komputer atau laptop sebelum peperiksaan online bermula.

b.Soalan-soalan yang kebiasaannya di tanya adalah soalan inventori sahsiah keguruan yang lebih menjurus kepada soalan untuk menguji inventori sahsiah guru yang merangkumi kejujuran, tanggangugjawab , ikhlas, amanah dan sifat-sifat terpuji yang harus ada pada seorang guru.

c.Para calon diminta untuk menjawab soalan ini secara terus menerus tanpa perlu memikir panjang kerana ia melibatkan penilaian kendiri diri masing-masing. Pastikan calon dapat menjawab sehingga habis tanpa meninggalkan sebarang soalan.

d.Selain itu, calon diminta untuk juga bersiap sedia membaca tentang pengetahuan am dalam bidang pendidikan dan isu-isu semasa berkaitan. Contohnya ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM), Isu PPSMI, nama-nama Menteri dan jawatan-jawatan utama dalam Pendidikan, cabaran guru, teknologi terkini dalam bidang Pendidikan, dasar-dasar Pendidikan yang terkini, isu-isu guru yang berlaku di Malaysia, kemahiran-kemahiran Pendidikan, isu-isu murid yang terkini, kehendak kemenjadian Pendidikan yang terkini dan pelbagai lagi.

e.Paling utama adalah nilai-nilai sahsiah dan etika keguruan yang para calon perlu kuasai dengan sebaiknya untuk dinilai di dalam peperiksaan ini.

2.PENGHASILAN VIDEO PENGAJARAN 

Penghasilan video ini adalah batu asas yang paling utama dan penting untuk para panel menilai calon-calon yang layak untuk diterima masuk dalam IPG ini. Video mestilah dihasilkan dengan paling terbaik sekali dengan mengikut kriteria-kriteria yang diperlukan.

Para calon dikehendaki untuk menghasilkan video mengikut keperluan yang diminta sahaja tanpa berlebih-lebihan. Perkara utama yang harus difokus adalah content atau isi yang ingin di sampaikan. Para calon perlu memanfaatkan 8 minit yang diberi sebaik-baiknya untuk diberikan penyampaian yang mudah diterima dan faham oleh para panel.

Jangan sesekali mencacamerbakan video anda dengan perkara-perkara yang tidak perlu dan meleweh-leweh sehinggakan penyampaian isi tidak tercapai dan tidak difahami oleh para panel.

Foto : Armen Press

Saya akan pecahkan kepada beberapa bahagian mengikut tertib video yang perlu dihasilkan.

2.1 Persediaan Rakaman Video

a.Pastikan calon menyediakan peranti kamera yang paling terbaik dan berkualiti mengikut kemampuan masing-masing.

b.Calon diminta untuk berpakaian formal dan yang bersesuaian dengan profesion perguruan. Bagi pelajar lelaki, pastikan memakai kemeja berwarna cerah dan tie yang bersesuaian. Cadangan yang terbaik adalah pakaian kemeja berwarna putih, tier berwarna merah, bertali pinggang, memakai name tag(amat digalakkan), berseluar hitam dan berkasut hitam.

Pastikan juga rambut bagi pelajar lelaki pendek dan bersisir dengan kemas dan berminyak. Bagi calon wanita pula, pakaian yang menutup aurat dan sesuai, kebiasaanya adalah baju kurung dan tudung yang sesuai. Elakkan memakai pakaian yang ketat dan tidak sopan. Pastikan bajunya juga tidak terlalu “heavy” warnanya dan bercorak yang banyak.

Elakkan juga memakai baju yang mengerlip-ngerlip labucinya, kurang tarikan baju yang dipakai. Pastikan juga tidak memakai aksesori yang terlalu banyak di baju dan tudung kerana ia mengganggu konsentrasi panel. Elak memakai kerongsang yang besar-besar dan berkilat-kilat. Begitu juga, tidak digalakkan calon perempuan memakain makeup yang terlalu tebal persis model dan pengantin.

c.Calon di minta untuk membuat demonstrasi pengajaran atau cerita seoalah-olah berhadapan dengan sekumpulan murid. Berlakonlah sehabis baik, anggaplah terdapat murid-murid di hadapan anda.

d.Rakaman mestilah calon dibuat secara audio dan visual. Calon melakukan aktiviti dalam keadaan berdiri dengan memperlihatkan keseluruhan badan dari kepala hingga kaki. Pastikan rakaman tersebut juga nampak kasut kaki.

e.Rakaman video TIDAK BOLEH mengandungi unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti kaum, politik, agama dan menghina mana-mana individu lain. 

f.Rakaman video hendaklah jelas, berterusan dan tidak diubahsuai. Elemen tambahan multimedia seperti animasi, grafik, ilustrasi adalah TIDAK DIBENARKAN. 

g.Format video yang ditetapkan adalah MP4, MOV, AVI, WMV dan FLV. Manakala resolusi video yang dibenarkan untuk dimuat naik adalah 720p: 1280×720 (16:9) atau 1080p: 1920×1080 (16:9). Hal ini bermaksud calon diminta untuk merakam secara melintang. Jangan menegak. Calon juga diminta tidak set kan rakaman tersebut secara mirror. Rakam secara biasa.

Jika rakam secara mirror nanti menyukarkanpanel kerana perkataan dalam video akan jadi terbalik. Hal ini menyukarkan pihak panel untuk membaca.Perkara ini akan berlaku ketika calon menunjukkan atau menayangkan sijil-sijil mereka nanti.

2.2 Pengisian Rakaman Video


Mengenai pengisian rakaman video pula, calon telah diberi dua pilihan iaitu “mengajar” atau “bercerita”. Calon-calon perlu kenalpasti dan memilih dengan bijak.

Jangan tersilap memilih pilihan ini. Kebiasaanya bagi calon yang mempunayi subjek asas khusus, sesuai untuk memilih pengajaran. Manakala bagi calon yang tidak mempunyai subjek khusus seperti bimbingan kaunseling dan Pendidikan awal kanak-kanak sesuai untuk bercerita.

Pastikan calon tidak terperangkap dengan pemilihan ini. PILIH mengikut kesesuaian subjek masing-masing kerana pengajaran melibatkan  subjek yang diperoleh.

Saya akan pecahkan kepada tiga bahagian juga dalam segmen ini :-

a.Komponen Pengenalan Diri dan Pernyataan hasrat (3 minit)

Dalam komponen ini, calon dikehendaki untuk memperkenalkan diri serta no ic. Pastikan calon menyebut dengan suara yang jelas dan lantang.Selepas itu, calon perlu menyatakan hasrat calon ( Kenapa pilih bidang ini? Kalu saya terpilih apa akan saya buat? Kalau saya dah jadi seorang guru, apa yang saya berikan? ) Kemudian di cadangkan juga untuk masing-masing melobi diri masing. Kenapa perlu pilih saya?..kerana saya merupakan ………….(nyatakan pencapaian2 tertinggi dan terbaik calon pernah dapat).

Bagi calon Pendidikan islam, sebelum menyatakan hasrat, di minta untuk membaca ayat al-quran. Letakan meja kecil dan kerusi disebalah anda untuk membaca ayat al-quran tersebut. Pelajar Pendidikan islam perlu memperkenalkan diri dalam Bahasa Arab.

b.Komponen Demonstrasi Pengajaran (4 minit)

Pastikan calon memilih topik atau tajuk yang mudah bagi subjek masing-masing. Jangan sesekali perangkapkan diri dengan tajuk-tajuk yang sukar. Pastikan pengajaran yang ingin diajar mempunyai perancangan pengajaran yang ringkas. Misalnya, wujudkan  3 step mudah pengajaran iaitu set induksi, sesi pengajaran dan penutup. Sediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Kreatifkan pengajaran anda sebaik mungkin.

Gunakan masa yang diberikan sebaik-baiknya. Banyakkan pemudah cara pengajaran seperti Bahan Bantu Mengajar(BBM). Pastikan calon menggunakan suara yang jelas dan lantang. Elakkan rakam yang tersasul-sasul. Membuat simulasi pengajaran yang paling terbaik sekali seoalah-olah calon sedang mengajar di dalam kelas.

Di situlah kayu ukur pertama panel melihat bagaimana calon mempunyai potensi untuk jadi seorang guru. Elakkan terlalu over atau berlebih-lebih. Kawal gaya dan gerak geri tubuh ketika mengajar.

c.Komponen Paparan Dokumen (1 minit)


Dalam komponen ini, calon di minta untuk menunjukkan dokumen-dokumen rasmi di dalam video tersebut. Di sini yang saya katakan, elakkan menggunakan setting mirror di rakaman anda. Calon diminta untuk paparkan kad pengenalan, sijil SPM dan sijil Anugerah pencapaian tertinggi.

Pastikan calon menunjukkan aturan dokumen rasmi yang tertib seperti berikut :-
1.Sijil SPM
2.Sijil Pencapaian Peringkat Antarabangsa
3.Sijil Pencapaian Peringkat kebangsaan
4.Sijil Pencapaian Peringkat Negeri
5.Sijil Pencapaian Peringkat Daerah

Pastikan setiap tonjolan sijil perlu disebut oleh calon bagi memudahkan para penilai melihat dan mendengar.

MAKLUMAT TAMBAHAN 

1. Semasa tempoh penilaian rakaman video dibuat, calon juga boleh dihubungi oleh panel penilai menerusi panggilan video /Skype/panggilan telefon bagi tujuan mendapatkan maklumat tambahan/lanjut tentang calon. 

2. Calon dikehendaki bersedia dengan gajet dan aplikasi yang bersesuaian (telefon pintar/komputer riba/PC/Skype) dan kemudahan internet bagi melancarkan perbualan menerusi kaedah tersebut. 

3. Calon yang menggunakan Skype atau panggilan video, akan dihubungi terlebih dahulu supaya calon bersedia. Tarikh dan masa perbualan akan dimaklumkan kepada calon. 

4. Panel boleh menghubungi calon bagi tujuan mendapatkan maklumat tambahan/lanjut dari 5 hingga 7 Mei 2020 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. 

Percayalah, pemilihan untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru adalah sangat sengit dan mencabar. justeru, lakukanlah paling terbaik jika anda benar-benar ingin menjadi seorang guru.

Nukilan oleh :
Mohd Zulqarnain bin Abdol Rahman

-Guru Muda Negeri Melaka.
-Penulis Buku Teks Kementerian Pendidikan Malaysia
-Panel Penilai Buku Teks & Pembangunan Kurikulum


© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.