fbpx
Now Reading
Lelaki Kongsi Tips Turun 20 KG Berat Badan Dalam Masa Setahun

Lelaki Kongsi Tips Turun 20 KG Berat Badan Dalam Masa Setahun

Tiada jalan mudah, namun tidak mustahil untuk turun 20 kg berat badan dalam setahun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap orang pasti mengimpikan bentuk badan yang cantik, berat yang ideal serta sihat terutama kepada mereka yang sudah lama berazam untuk kurus.

Oleh itu, pelbagai cara telah diperkenalkan malah ada juga yang menawarkan kos rawatan sehingga ribuan ringgit.

Baru-baru ini, seorang lelaki di laman Twitter iaitu @luqmandisini atau lebih dikenali sebagai Luqman, telah berkongsi bagaimana cara untuk menurunkan berat badan tanpa mengeluarkan sebarang kos.

Menurut Luqman, dia telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 20 kg tanpa menggunakan suplemen, duit serta alatan sukan.

“Pada Mac 2021, berat badan aku 84 kg, perut boroi, Body Mass Index (BMI) tinggi, nak naik tangga pun semput.

“Jadi aku tekat untuk dapatkan BMI yang seimbang untuk badan aku, demi masa depan yang sihat,” ciapnya di Twitter.

Walau bagaimanapun, dia turut menyatakan bahawa dia bukanlah seorang atlet, pakar pemakanan mahupun sesiapa tetapi hanyalah seorang pelajar sahaja yang menggunakan beberapa teknik Calorie Deficit untuk menurunkan berat badannya.

Apakah Calorie Deficit?

Calorie Deficit atau defisit kalori adalah apabila seseorang itu mengurangkan jumlah kalori makanan daripada jumlah kalori yang digunakan untuk menghasilkan penurunan berat badan.

Namun, terdapat dua cara untuk meningkatkan defisit kalori iaitu melalui pemakanan serta senaman.

Anggaran purata kalori yang diperlukan oleh lelaki dewasa untuk setiap hari adalah antara 2000-3000 kalori, manakala bagi wanita adalah sebanyak 1600-2400 kalori.

Oleh itu, bagi individu yang ingin menggunakan teknik ini perlu mengambil kalori yang kurang daripada apa yang diperlukan oleh badan setiap hari.

Berapa banyak perlu dikurangkan dalam sehari untuk turun 20 kg setahun?

Menurut Luqman, dia mengambil 1500 kalori setiap hari untuk mencapai penurunan sehingga 20 kg dalam masa setahun, dan menganggarkan beratnya turun lebih kurang 1.5 kg sebulan.

Sehubungan itu, dia turut menggalakan kepada mereka yang mahu mengawal pengambilan kalori untuk memiliki aplikasi MyfitnessPal.

Foto: Aplikasi MyFitnessPal

Tambahnya, menerusi aplikasi ini anda dapat mengetahui berapa jumlah kalori yang disyorkan berdasar dengan matlamat berat badan yang diimpikan.

Bukan itu sahaja, melalui aplikasi ini juga anda dapat mengesan penggunaan kalori harian anda.

Elakkan minuman manis dan berkarbonat

Walau bagaimanapun, demi mencapai berat yang ideal anda digalakkan untuk tidak mengambil sebarang minuman manis serta berkarbonat, kerana minuman ini mempunyai kalori yang sangat tinggi.

Luqman juga menggunakan teknik 3-1-3 iaitu 3 hari bersenam, 1 hari berehat dan 3 hari bersenam, dia merasa selesa dengan teknik ini dan menggunakan 1 hari berehat itu untuk makan makanan yang dimahukan namun tidak melebihi 2500 kalori.

Namun, Luqman turut menegaskan bahawa mereka yang mahu menurunkan berat badan perlulah memahami proses yang dilalui serta kekal konsisten dengan usaha yang hendak dilakukan.

“Anda perlu bersedia dari segi mental dan ambil ini sebagai cabaran buat diri sendiri, menandakan anda sayang pada badan anda. Kena paksa sikit badan supaya ia menjadi rutin, tiada jalan mudah untuk semua benda,” kata Luqman.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.