Cara Pindah Duit Ke ASB Secara Online Tanpa Sebarang Caj Tambahan
Ini merupakan cara terkini untuk memindahkan wang dari mana-mana bank anda terus ke akaun ASB tanpa sebarang caj tambahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Buat anda yang ingin menyimpan atau melabur wang simpanan, pelaburan Unit Amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) sering menjadi pilihan dek kerana risikonya yang rendah selain pulangan yang agak tinggi.
Namun urusan menyimpan di dalam tabung ASB kerap tertangguh kerana ramai beranggapan sebarang transaksi hanya boleh dilakukan di kaunter ASNB, pejabat pos atau bank-bank sahaja.
Jangan tersilap, ini kerana sebarang transaksi ASB kini boleh dilakukan secara online. Anda bukan sahaja tidak perlu beratur, malah anda juga dapat menjiwatkan wang kerana tiada caj tambahan yang akan dikenakan.
Cara pindah duit ke ASB secara online
Jadi di bawah kami kongsikan cara terkini (2022) untuk anda memindahkan wang dari bank anda (mana-mana bank) terus ke akaun ASB tanpa sebarang caj.
#1 Pergi ke ke Portal MyASNB
Untuk melakukan pemindahan, anda sememangnya perlu mempunyai akaun ASB yang aktif. Selain itu anda juga perlu mempunyai akaun MyASNB Online yang boleh di akses menerusi laman MyASNB atau aplikasi myASNB.
Jika sudah mempunyai akaun, terus log masuk. Jika tiada, daftarkan akaun ASNB anda terlebih dahulu menggunakan aplikasi mudahalih myASNB (pendaftaran hanya boleh dilakukan menggunakan aplikasi).
Daftar dan muat turun aplikasi MyASNB di : App Store, Google Play, atau App Gallery.
Untuk mendaftar, anda hanya memerlukan no MyKAD, no telefon selain melengkapkan butiran diri termasuk akaun bank anda.
#2 Login masuk ke akaun MyASNB
Sekiranya sudah mendaftar, log masuk ke akaun MyASNB anda dengan menggunakan ID Pengguna, semak frasa keselamatan yang sudah anda tetapkan. Jika betul masukkan kata laluan.
Kaedah ini boleh dilakukan menerusi portal juga menggunakan aplikasi myASNB.
#3 Klik pada Dana Saya
Pastikan anda berada pada tab Akaun Saya. Kemudian klik pada butang Dana Saya. Rujuk gambar di bawah.
#4 Klik butang Pelaburan Tambahan
Klik pada butang Pelaburan Tambahan (rujuk tanda kotak merah di bawah) dan tatal ke bawah.
#5 Masukkan amaun & pilih kaedah pembayaran
Masukkan jumlah unit yang ingin dilabur/dipindahkan ke akaun ASB anda di ruangan Amaun Termasuk SST. Kemudian pilih cara pembayaran Perbankan Dalam Talian-FPX (rajah 5a) diikuti pemilihan bank FPX anda di ruangan Pilih Bank FPX (rajah 5b)
Sebaik selesai tatal ke bawah.
#6 Baca dan setuju pada T&C, dan tekan Seterusnya
Baca terma dan syarat (T&C). Sebaik selesai tekan pada kotak sebagai tanda setuju dan tekan butang Seterusnya.
#7 Pengisytiharan PEP
Lakukan pengisytiharan PEP. Tekan tidak diikuti butang Seterusnya jika anda tidak terdedah kepada politik (PEP).
#8 Semak jumlah dan butiran FPX
Semak jumlah dana dan butiran FPX yang ingin dimasukkan sekali lagi. Jika semuanya tepat tatal ke bawah (rajah 8a) dan tandakan pada kotak sahkan ( rajah 8b) diikuti butang Teruskan Pembayaran.
8a 8b
#9 Login pada akaun bank anda
Anda akan dibawa terus ke laman web bank yang telah anda pilih tadi. Login online banking anda seperti biasa.
Contoh di bawah adalah menggunakan Maybank2U.
#10 Semak amaun yang ingin dipindahkan
Selesai log masuk, anda diberikan paparan preview untuk menyemak semula amaun yang ingin anda labur/pindahkan ke ASB tadi.
Jika bersetuju teruskan langkah mengikut bank masing-masing termasuk permohonan TAC dan buat pembayaran.
#11 Semak resit
Sekiranya pemindahan berjaya, e-resit transaksi akan dipaparkan. Screenshot sekiranya memerlukan. Sebagai kepastian, semaklah akaun ASB anda semula. Selesai!
Boleh dilakukan dari 9am -5 pm
Sebagai peringatan, transaksi ini hanya boleh dilakukan dari 9am- 5pm sahaja. Selamat menyimpan!