fbpx
Now Reading
Anak Cepat Bosan? Ini 7 Tips Komunikasi Dengan Kanak-Kanak Yang Paling Berkesan

Anak Cepat Bosan? Ini 7 Tips Komunikasi Dengan Kanak-Kanak Yang Paling Berkesan

Menurut ahli psikologi tersebut, orang dewasa seharusnya memasuki dunia kanak-kanak tersebut dan bukan sebaliknya agar mereka berasa lebih selesa untuk berkomunikasi bersama.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sering kali kita mendengar hadis Rasulullah SAW bahawa anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi, atau Majusi.

Namun, dalam mencorak dan mendidik kanak-kanak, ia memerlukan kesabaran yang tinggi terutama dalam melayani setiap karenah mereka.

Antara didikan terawal yang selalunya diberikan oleh ibu bapa mahupun guru-guru pastinya melalui komunikasi.

Bagaimanapun komunikasi biasa seperti bertanya khabar, umur, nama, dan sebagainya menyebabkan golongan anak kecil ini lebih berasa bosan sekaligus tidak membantu dalam meningkatkan moral serta keyakinan mereka.

7 Tips komunikasi yang berkesan buat kanak-kanak

Susulan itu, seorang ahli psikologi klinikal yang dikenali sebagai Akif Basri telah berkongsi tujuh tips komunikasi secara lisan atau bukan lisan yang berkesan buat kanak-kanak menerusi ciapan di laman Twitter miliknya.

Berikut adalah 7 tips komunikasi yang dinyatakan:

#1 Perhatikan apa yang mereka minat dan ‘join’ aktiviti itu

Kanak-kanak pasti mempunyai aktiviti atau sukan yang diminati oleh mereka seperti berlari, melompat, main anak patung dan sebagainya.

Oleh itu, orang dewasa seharusnya memasuki dunia kanak-kanak tersebut dan bukan sebaliknya agar mereka berasa lebih selesa untuk berkomunikasi bersama.

#2 Beri perhatian penuh dan iktiraf perbuatan mereka

Memberi perhatian dan pujian terhadap perbuatan yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak juga secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dalam berkomunikasi.

Sebagai contoh, bila seseorang anak kecil dilihat sedang melompat, kita seharusnya mengucapkan kata-kata seperti, “Wah! tingginya adik boleh lompat”.

“Bila dia lari, kita kata ‘lajunya lari’. Sambil dia main keretapi, kita buat bunyi ‘tut tutt, tut tutt’. Bila dia main playdoh kita kata, ‘nice shape you made’.”

#3 Duduk atau tunduk supaya mata selari dengan mereka

Disebabkan tubuh badan orang dewasa lebih besar dan tinggi daripada kanak-kanak, jadi komunikasi yang dilakukan akan mempunyai ‘power gap’ seperti orang dewasa lebih berkuasa menyebabkan golongan terbabit akan berasa sedikit takut dan tidak berkeyakinan.

Akan tetapi, jika orang dewasa duduk bila bercakap dengan mereka, kanak-kanak itu akan berasa seperti berbual dengan rakannya.

Foto: Twitter/akif_basri

#4 Perlu berikan bahasa badan yang lebih

Kanak-kanak lebih mengemari komunikasi dengan seseorang yang memberi ekspresi wajah dan pergerakan badan ketika sedang berbual.

Sebagai contoh, jika cerita itu melibatkan sesuatu perkara yang gembira, maka ekspresi wajah haruslah senyum selebar-lebarnya dan jika sedih pula, lakukan riak wajah seperti muncung untuk menggambarkan situasi sedih.

“Pergerakan badan pula, kita perlu buat “over” sikit perkara sebegini bagi mereka nampak jelas respon kita.”

Foto: Twitter/akif_basri

#5 Guna suara yang kuat, ayat pendek, direct dan ulang beberapa kali

Elakkan daripada menggunakan ayat terlalu umum dan panjang lebar untuk memastikan kanak-kanak tersebut faham dengan jelas arahan yang diberikan kepadanya.

Sebagai contoh, “Ali, ambil lego itu, masukkan dalam bekas putih ini” dan elakkan daripada menggunakan ayat yang terlalu panjang seperti “Haa nanti dah habis main jangan lupa kemas semua toys sampai rumah kemas, bersih, cantik…”.

#6 Modelling

Adalah lebih bagus apabila seseorang itu bercakap sambil menunjukkan model atau cara bagaimana yang harus kanak-kanak itu lakukan.

Cara sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan kefahaman mereka selain menambahkan lagi keyakinan mereka dalam melakukan sesuatu perkara yang diarahkan.

“ ‘Ali, ambil lego itu, masukkan dalam bekas putih ini” sambil kita tunjuk kita ambil lego & masukkan dalam bekas putih’. Lepas dia dah faham, beri dia buat sendiri.”

#7 Prompt

Jika seseorang kanak-kanak itu melakukan sesuatu perkara yang diarahkan hanya separuh jalan kerana terganggu dengan perkara lain, maka haruslah ulang kembali arahan yang telah diberikan.

“ ‘Ali, ambil lego itu, masukkan dalam bekas putih. Belum habis lagi ni’. Ini namanya prompt, dengan budak-budak kita memang kena selalu bersabar dan prompt banyak kali.”

Difahamkan juga tips yang diberikan ini sesuai buat kanak-kanak berumur dalam lingkungan dua hingga enam tahun.

Diharapkan perkongsian ini berguna buat semua terutamanya ibu bapa dan guru-guru yang ingin mendidik anak-anak kecil melalui komunikasi agar hubungan yang lebih erat bersama golongan itu dapat dihasilkan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.