fbpx
Now Reading
Elakkan Diri Anda Dari Jadi Mangsa Projek Rumah ‘Sakit’ Menggunakan 5 Tips ini!

Elakkan Diri Anda Dari Jadi Mangsa Projek Rumah ‘Sakit’ Menggunakan 5 Tips ini!

Antara langkah awal yang boleh diambil adalah dengan membuat semakan latar belakang pemaju melalui laman web rasmi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Membeli rumah merupakan satu keputusan besar yang dibuat dalam kehidupan seseorang. Ini kerana pembelian ini bakal melibatkan perbelanjaan yang amat besar ditambah dengan harga rumah yang semakin meningkat.

Untuk mengelakkan daripada anda tertipu dan mengalami kerugian, berikut kami kongsikan lima tips sebagai panduan untuk anda dalam membeli rumah.

Mana tahu, tips ini sedikit sebanyak membantu elakkan anda daripada terjadi mangsa projek perumahan sakit. Antara lima tips tersebut adalah seperti berikut:

#1 Beli Rumah Yang Hampir Siap

Foto: Freepik

Lazimnya, harga rumah adalah berbeza mengikut tempoh dan proses pembinaan kediaman tersebut. Harga rumah yang ditawarkan kebiasaannya jauh lebih murah sekiranya anda menjadi pembeli yang terawal.

Semakin awal anda buat pembelian sesuatu projek, semakin murah harga yang perlu dibayar. Namun, risiko yang diambil adalah tinggi kerana anda belum dapat melihat proses dan kemajuan projek tersebut.

Oleh itu, bagi mengelakkan anda dari menjadi mangsa projek perumahan yang terbengkalai, anda disarankan untuk membeli rumah yang hampir siap dibina.

 Walaupun harga yang perlu dibayar agak mahal, namun setidak-tidaknya ia boleh meyakinkan dan mengelakkan anda daripada menjadi mangsa.

Namun, sekiranya anda tidak mampu untuk membeli rumah yang hampir siap, pilihan lain yang ada adalah dengan membeli rumah terpakai (sub-sale).

#2 Buat Semakan Latar Belakang Pemaju

Foto: Laman Web Rasmi KPKT

Ini antara langkah awal yang anda boleh gunakan sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah. Semak latar belakang pemaju terutamanya dari segi lesen melalui laman web rasmi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menerusi laman web ini juga, anda boleh membuat semakan senarai pemaju yang telah disenarai hitam melalui portal rasmi Jabatan Perumahan Negara, KPKT.

Dengan langkah ini, ia boleh membantu anda dalam membuat pembelian melalui rekod yang disimpan oleh pihak kerajaan berkaitan status pemaju projek perumahan berkenaan.

#3 Buat Semakan Berkenaan Status Tanah Di Projek Kediaman

Foto: Freepik

Sekiranya anda mempunyai maklumat berkenaan status tanah yang akan digunakan bagi tujuan projek pembinaan rumah, anda disarankan untuk membuat semakan berkenaan status tanah tersebut.

Ia penting agar anda boleh mengetahui beberapa maklumat penting seperti pemilik tanah sebenar, jenis hak milik, status hak milik tersebut dan juga pemilik tanah semasa yang berdaftar.

Status ini penting agar projek perumahan itu dapat dilaksana dan disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan tanpa ada gangguan dari pihak lain pada masa hadapan.

#4 Lawat Lokasi Fizikal Projek Pembinaan

Foto: Freepik

Kebiasaannya, lokasi bilik pameran perumahan terletak jauh daripada tapak sebenar sesebuah projek kediaman.

Anda disarankan untuk melawat tapak projek yang sebenar sekerap yang mungkin agar anda boleh melihat kemajuan pembinaan kediaman impian anda.

Langkah ini juga boleh membuktikan kepada anda sama ada pemaju yang dipilih melaksanakan projek mengikut masa yang ditetapkan atau tidak.

#5 Semak Dokumen Undang-Undang Dengan Teliti

Foto: Freepik

Semasa membuat pembelian rumah idaman anda, terdapat satu dokumen undang-undang yang perlu anda tandatangan dikenali sebagai perjanjian jual beli (S&P).

Anda dinasihatkan untuk membaca kandungan dokumen ini dengan teliti kerana ia mengandungi perincian berkaitan proses jual beli kediaman di antara pembeli dan penjual.

Langkah yang selamat adalah dengan melantik peguam sendiri yang dapat melindungi kepentingan anda. Anda tidak digalakkan untuk menggunakan peguam yang sama mewakili pihak pemaju.

Kesimpulannya, cuba ambil lima langkah ini sebelum anda membuat keputusan untuk membeli sebuah kediaman.

Ia penting kerana tindakan yang anda ambil ini boleh membantu mengelakkan anda daripada menjadi mangsa sebuah projek perumahan yang terbengkalai pada masa hadapan. Jika tidak, anda yang rugi nanti!

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Perancangan Kewangan Yang Tidak Patut Anda Abaikan!

Baca Artikel Berkaitan: Adibah Noor Kongsi Tips Beli Rumah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.