Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Sebagai seorang pemandu, pelbagai risiko yang tidak diingini boleh berlaku semasa sedang memandu di atas jalan raya.
Selain kemalangan, antara risiko lain adalah seperti kenderaan mengalami kerosakan, bahkan ada yang lebih teruk lagi sehingga melibatkan kebakaran.
Sebelum ini juga, banyak kejadian yang dilaporkan melibatkan kenderaan secara tiba-tiba terbakar di negara ini.
Lelaki kongsi langkah-langkah perlu dilakukan sekiranya kereta terbakar
Susulan itu, seorang lelaki yang juga mekanik kereta telah berkongsi langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya seorang pemandu itu mengalami masalah kenderaan terbakar.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @altimatsaujana, lelaki terbabit berkata pemandu tidak boleh terlalu panik sehingga berhenti di kawasan yang tidak sepatutnya.
Berhenti di kawasan selamat dan jangan buka bonet hadapan
Menurutnya, sekiranya pemandu terbau sesuatu seperti hangit, langkah pertama yang harus dilakukan adalah memandu kereta ke kawasan yang selamat untuk berhenti dan keluar daripada kenderaan dengan segera.
Langkah seterusnya, duduk jauh daripada kereta dan jangan sesekali membuka bonet hadapan kerana ia boleh menyebabkan api marak dengan lebih besar dan cepat.
Guna pemadam api sekiranya ada atau segera hubungi bomba
Menurutnya lagi, gunakan pemadam api sekiranya ada untuk mengawal kebakaran daripada merebak dan hubungi bomba untuk mendapatkan bantuan susulan.
Lelaki itu turut menasihati pemandu agar tidak kembali mendekati kenderaan semata-mata untuk melihat kebakaran kerana dikhuatiri kereta boleh meletup.
Meskipun perkongsian ini kelihatan mudah dan hanya melibatkan langkah-langkah asas, tetapi ia sangat berguna.