fbpx
Now Reading
Risau Liat? Ini 5 Cara Lembutkan Daging Dengan Mudah

Risau Liat? Ini 5 Cara Lembutkan Daging Dengan Mudah

Antara cara yang boleh digunakan adalah menggunakan buah seperti pir, daun betik, kiwi dan juga nanas kerana ia mengeluarkan enzim yang dapat membantu melembutkan daging.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (17 Jun) seluruh umat Islam di Malaysia telah menyambut Hari Raya Aidiladha.

Ekoran itu, ramai yang mengambil kesempatan untuk membuat korban haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kerbau dan sebagainya.

Usai proses penyembelihan dan melapah daging-daging tersebut kemudiannya akan diedarkan kepada fakir miskin, sanak-saudara atau sesiapa yang memerlukannya.

Namun mungkin ada segelintir dari anda yang ingin terus memasaknya tetapi tidak tahu bagaimanakah cara penyediaan sehingga teksturnya menjadi lembut dan enak dimakan.

Kami faham kesukaran yang anda alami. Oleh itu, jom kami kongsikan beberapa cara yang mudah untuk lembutkan daging dalam masakan.

#1 Guna bahan berasid

Foto: Pexels

Bahan berasid boleh membantu untuk melembutkan daging yang keras.

Sebagai contoh anda boleh merendam daging dalam perapan yang mengandungi jus lemon, limau, cuka, susu mentega termasuklah yogurt.

Namun anda dinasihatkan untuk tidak membiarkan ia direndam bagi tempoh terlalu lama kerana asid juga boleh melemahkan struktur protein yang ada pada daging.

Antara tempoh yang disarankan adalah sekitar 30 minit hingga dua jam sahaja.

#2 Tumbuk atau pukul daging

Anda mungkin sering melihat perkara ini dilakukan di televisyen atau media sosial di mana segelintir individu akan menumbuk daging menggunakan alat khas untuk melembutkannya.

Walau bagaimanapun, ia tidak boleh ditumbuk dengan terlalu kuat kerana ia akan menyebabkan daging hancur serta lembik.

Beli alatan khas yang sering dijual di kedai perkakas, dan cara ini juga dapat membantu serat pada daging rosak.

#3 Buah atau daun

Foto: Pexels

Ramai yang mungkin tidak mengetahui terdapat beberapa buah dan juga daun yang dapat membantu dalam melembutkan daging.

Ini kerana ia mempunyai enzim, antara buah-buahan yang boleh membantu melembutkan daging adalah seperti buah pir, daun betik, kiwi, dan juga nanas.

Untuk membuat perapan agar daging lembut, anda perlu mengisar terlebih dahulu buah-buahan berkenaan dan jadikan puri.

Kemudian gaulkannya bersama daging yang ingin dimasak.

Malah Public Health Malaysia, menerusi satu hantaran di Facebook turut berkongsi cara untuk melembutkan daging menggunakan daun betik.

Menurutnya daun ini mengandungi enzim papain yang berfungsi untuk memecahkan protein kompleks dalam daging untuk menjadi fragmen yang lebih kecil.

Selain itu enzim tersebut juga membantu untuk mempercepatkan proses daging untuk empuk sewaktu dimasak.

#4 Gunakan periuk pressure cooker

Foto: Freepik

Sekiranya anda mempunyai alat elektronik seperti pressure cooker di rumah, perkara ini pasti akan lebih memudahkan anda.

Apa yang perlu dilakukan adalah bersihkan daging dan masukkan ke dalam pressure cooker kemudian setkan masa untuk merebus daging sehingga ia lembut.

Kebolehan alat elektronik ini memberi tekanan kepada daging dapat mempercepatkan proses daging lembut.

Malah dalam masa 30 minit mungkin daging anda sudah lembut dan boleh dimasak seperti biasa.

#5 Cara potongan

Foto: Pexels

Mungkin ada yang masih belum mengetahui cara daging dipotong juga memainkan peranan penting dalam melembutkan daging.

Untuk memastikan daging yang dimasak lembut, ia perlu dipotong melawan arah urat daging.

Selain itu, anda juga boleh memotong daging dengan nipis kerana ia turut membantu daging dimasak dengan lebih cepat.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga yang melembutkan daging dengan meletakkan sudu atau garfu besi ke dalam rebusan daging.

Menurut Hello Doktor, sudu jenis stainless steel mungkin mengeluarkan sebatian besi atau kromium.

Jelasnya besi tidak memudaratkan kesihatan, tetapi kromium mempunyai risiko menjadi racun meskipun di tahap yang rendah.

Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda elakkan perkara tersebut dan gunakan cara lain seperti yang telah kami sarankan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.