fbpx
Now Reading
Macam Ni Sikap Pemandu Yang Kita Nak!

Macam Ni Sikap Pemandu Yang Kita Nak!

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mungkin ada di antara anda yang pernah menonton video tular kemalangan yang berlaku dalam terowong di Korea pada tahun lalu. Pemandu yang berada di dalam terowong tersebut bekerjasama merapatkan kereta ke dinding bagi memberi laluan kepada anggota penyelamat.

Perkara yang sama juga berlaku di negara kita apabila pemandu memberi kerjasama meletakkan kenderaan masing-masing rapat ke dinding Terowong Menora sekali gus menyediakan akses kepada pasukan penyelamat memasuki terowong itu ketika kemalangan di Kilometer 261.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala utara di Ipoh pagi tadi.

Gambar menunjukkan situasi itu bagi menyediakan laluan kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ambulans tular.

Dalam kejadian pagi tadi, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dan Proton Saga Aeroback dan kedua-dua kenderaan itu terbalik menyebabkan kedua-dua lorong hala utara PLUS di dalam terowong itu terpaksa ditutup sementara.

Ketika pasukan keselamatan berdepan kesukaran memasuki terowong termasuk ketika pertambahan bilangan kenderaan di PLUS kerana musim perayaan, pengguna dilihat ‘sporting’ dengan membuka laluan membolehkan pasukan itu tiba ke lokasi bagi memberi bantuan sewajarnya.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata, kemalangan dua kenderaan dalam terowong pada 11.30 pagi tadi mengakibatkan kesesakan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan terutama pasukan penguatkuasa ke lokasi itu.

“Apabila berlaku kemalangan dalam terowong, semua kenderaan terperangkap dalam kesesakan dan tidak bergerak.

“Berikutan itu, kerjasama pelbagai pihak termasuk anggota trafik, kakitangan PLUS dan pengguna lebuh raya memastikan pergerakan pasukan penguatkuasa tiba di lokasi kejadian bagi mengalihkan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Pengguna lebuh raya telah meletakkan kenderaan di kiri dan kanan lebuh raya dalam terowong itu bagi memudahkan pasukan penguatkuasa dan penyelamat seperti jentera bomba dan ambulans tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mustafa Bakri berkata, anggota trafik yang bertugas berjaya mengawal kesesakan bagi memudahkan kerja pengalihan kenderaan keluar dari terowong berkenaan.

“Sebaik sahaja kerja pengalihan selesai, aliran trafik kembali lancar seperti biasa kira-kira 12 tengah hari tadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya memberi kerjasama kepada pasukan penguatkuasa untuk melaksanakan tugas bagi memudahkan aliran trafik berjalan lancar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.31 pagi.

Sumber : Harian Metro

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.