fbpx
Now Reading
“Memang Kami Kejar Tapi Kami Tak Pukul Dia”

“Memang Kami Kejar Tapi Kami Tak Pukul Dia”

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

 “Memang kami berempat kejar, tapi kami tak pukul dia, malah kami tidak bawa apa-apa senjata tajam atau kayu,” kata Muhammad Azri Mohd Arip, 22, pemilik gerai burger yang dirempuh sebuah bas Rapid KL di Jalan Enggang, berhampiran Flat PKNS, AU2, Taman Keramat, di sini, malam tadi.

Katanya, ketika kejadian dia sedang bersiap selepas pulang dari kerja sebelum mendengar dentuman kuat yang boleh didengari hampir semua penghuni flat berkenaan.

PENIAGA burger, Muhammmad Nur Azri Mohd Arip,22, melihat keadaan gerai burgernya yang rosak selepas dirempuh sebuah kereta yang dilanggar oleh sebuah bas RapidKL di Flat PKNS AU2 Taman Keramat. – Foto Luqman Hakim Zubir

“Saya bergegas keluar dan mendapati Proton Iswara tersadai di tepi gerai burger akibat dirempuh sebuah bas. Keadaan meja bertaburan, manakala ibu saya yang sedang memegang anak saudara berusia dua bulan tersepit di antara gerai dan pembahagi jalan.

“Proton Iswara berkenaan dilanggar ketika membelok masuk ke kawasan flat ini. Pemandunya yang juga penduduk flat berlari mengejar bas berkenaan sebelum sempat masuk ke dalam bas ketika kenderaan itu berhenti kerana pemandunya menghalau empat penumpang supaya turun,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari gerai burgernya.

Muhammad Azri berkata, ketika dia mengejar bas berkenaan, dia tidak berselipar, tidak berbaju serta tidak memakai topi keledar.

Dia bersama tiga lagi individu mengejar bas itu menggunakan dua motosikal kerana marah berikutan pemandu bas meninggalkan lokasi kejadian.

KEADAAN bas RapidKL di Balai Polis Pandan Indah yang terbabit dalam insiden rempuhan tujuh kereta di Jalan Ampang. – Foto Luqman Hakim Zubir

“Kami tidak membawa apa-apa senjata tajam atau kayu. Malah pemandu Proton Iswara yang berada di dalam bas beberapa kali memintanya supaya berhenti dan terus ke balai polis, namun pemandu bas enggan berbuat demikian.

“Ketika kami mengejarnya, dia sempat mengeluarkan tangan melalui tingkap dan menunjukkan isyarat mencabar kami supaya terus mengejarnya.

“Sebaik tiba di lokasi di mana dia merempuh beberapa kenderaan, saya dan tiga lagi rakan meninggalkan motosikal di belakang bas itu sebelum berlari mengejarnya dan sebaik tiba, dia sudah dipukul beberapa orang awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Azri, berkata dia dan tiga rakannya tidak sempat berbuat apa-apa kepada pemandu bas itu.

Katanya, dakwaan netizen mengatakan mereka membelasah lelaki itu hingga separuh mati dan mengejarnya menggunakan pedang samurai adalah tidak betul.

“Malah, hanya kami berempat yang mengejarnya, bukan ‘sekampung’ seperti didakwa. Memang ketika kejadian penduduk flat ramai keluar untuk melihat kejadian kerana bunyi dentumannya sangat kuat,” katanya yang mengejar bas berkenaan sejauh kira-kira empat kilometer.

Dia berkata, apa yang diluahkan dan diceritakan kepada wartawan turut dimasukkan dalam laporan polis, jika dia menipu, polis boleh mengambil tindakan kerana ramai saksi di lokasi ketika pemandu bas dibelasah.

Sumber : Berita Harian

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.