fbpx
Now Reading
Tunggang Motor Hingga Ke Mekah Demi Tunai Haji Pada Usia Muda

Tunggang Motor Hingga Ke Mekah Demi Tunai Haji Pada Usia Muda

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Atas semangat mahu menunaikan haji pada usia muda, lapan sahabat berusia antara 30 sehingga 43 tahun menyahut cabaran menyertai misi Ride To Hajj 2.0 2019 bermula 12 Jun ini.

Konvoi berkonsepkan Kembara Berilmu, Ibrah Bertamu’ sejauh 16,000 kilometer itu bakal merentasi tujuh negara bermula dari negeri Melaka ke Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum memasuki Arab Saudi.

Misi dijangka mengambil masa antara 50 hingga 60 hari itu turut diisi dengan pengisian amal iaitu menziarahi dan menyerahkan sumbangan untuk anak-anak di maahad tahfiz di India dan Pakistan.

Ketua konvoi, Zulhazwan Ismail, 32 tahun, menjelaskan bahawa dia bersama tujuh rakannya menjadikan kejayaan lima rakyat Malaysia pertama menunaikan haji secara berkumpulan menggunakan motosikal berkuasa rendah pada 2016 sebagai inspirasi.

“Kebanyakan daripada kami memang biasa menunggang motosikal sama ada ke Eropah mahupun sekitar Asia menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Tetapi kali ini kami mahu mencari kelainan dan sepakat menunaikan haji menggunakan motosikal kapcai,” ujarnya.

“Tambahan lagi, idea ini juga cetusan daripada mentor kami, Wazi Abdul Hamid (bekas juara Cub Prix) yang pernah menjayakan misi sama pada 2016,” katanya.

Menurutnya, mereka memilih motosikal kapcai jenama Honda RS150R berikutan mahu menjimatkan kos selain ringan dan mudah untuk melakukan perjalanan jauh.

Malah, persiapan sudah dimulakan sejak awal tahun dan kini melepasi 60 peratus. Selain itu, dia turut mengakui cabaran utama adalah cuaca dan bentuk muka bumi berbeza di setiap negara yang dilalui.

“Kami sudah memasuki fasa terakhir latihan fizikal dengan menunggang motosikal dari utara, selatan dan pantai timur. Kini, kami dalam proses permohonan visa untuk memasuki negara persinggahan serta visa menunaikan haji,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.