“Dugaan Tunang Terlalu Berat” – Syafie Naswip Putus Tunang
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kelmarin pelbagai spekulasi mula melanda media sosial apabila gambar-gambar pertunangan Syafie Naswip dan Aishah Azman serta gambar-gambar mereka bersama ‘hilang’ daripada Instagram masing-masing.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya kepada netizen dan juga teman-teman artis yang mula bertanya tentang perkara yang sama.
Melihat kepada Instagram mereka, bukan sahaja gambar-gambar bersama sudah tidak ada, mereka juga sudah tidak mengikuti antara satu sama lain.
Satu portal hiburan menghubungi Aishah yang ketika itu sedang menjalani satu penggambaran. Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Aishah tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Buat masa sekarang, saya tidak mahu keluarkan apa-apa statement. Kalau pihak Ayie (Syafie Naswip) mahu berkata apa-apa, saya tidak boleh menghalang.
“Saya akui dugaan ketika bertunang sangat berat,” kata Aishah dalam nada sedih tapi bertegas tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan daripada pihaknya.
Gempak kemudian cuba menghubungi Syafie Naswip beberapa kali dan hanya lewat malam tadi barulah panggilan berjawab.
Ditanya soalan yang sama tentang hubungan antara dia Aishah, Syafie terdiam seketika.
“Ya, kami sudah putus tunang. Itu sahaja kenyataan yang dapat saya berikan. Malah jika ada yang bertanya, saya tidak akan menjawab lagi tentang perkara ini,” kata Syafie.
Tambah Syafie, dia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan bukan kerana sesiapa, tetapi atas persetujuan bersama.
“Tidak ada orang ketiga, mahupun masalah keluarga, tetapi saya rasa dugaan bertunang ini terlalu berat dan tidak mampu untuk meneruskan,” katanya mengulangi apa yang dikatakan oleh Aishah.
“Jika dugaan ketika ini sudah tidak mampu saya tanggung, bagaimana nanti apabila sudah berkahwin?
“Buat masa sekarang, mungkin ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami berdua. Mungkin juga dugaan paling besar adalah soal kematangan diri saya,” tambah Syafie lagi.
Kata Syafie, dia tidak lagi akan membuat sebarang kenyataan tentang pertunangannya yang putus di tengah jalan.
“Ini kali pertama dan terakhir saya akan membuat kenyataan. Saya memohon maaf jika ada yang bertanya selepas ini, saya tidak akan menjawab apa-apa.
Syafie Naswip dan Aishah Azman bertunang pada satu majlis yang diadakan pada 7 April 2019, dan dijangka mendirikan rumah tangga hujung tahun ini. Namun, jodoh itu ketentuan Allah SWT.
Sumber : Gempak.com