Shaheizy Sam Bersifat Terbuka Dengan Perwatakan Syatilla Melvin
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Segelintir pihak menimbulkan perasaan kurang senang dengan Syatilla Melvin kerana merasakan dia seperti tidak menghormati Shaheizy Sam sebagai suami.
Sam atau nama penuhnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 37, berkata ia hanyalah pandangan individu yang tidak mengenali perwatakan sebenar isterinya, sebaliknya mereka saling menghormati antara satu sama lain.
“Mungkin mereka kurang senang dengan karakter Syatilla yang agak gila-gila dan kasar, sedangkan itu adalah karakter sebenarnya. Bukan hanya Syatilla, adik-beradiknya yang lain juga mempunyai perwatakan sama.
“Pada awal pernikahan kami, saya agak terkejut melihat cara gurauan keluarganya yang agak kasar. Tetapi, itu sebenarnya yang membuatkan mereka istimewa. Lama-kelamaan, saya mula faham dan perkara itu tidak pernah menjadi isu antara kami.
“Saya juga selalu bergurau kasar dengan Syatilla. Memang ada ketika, caranya lebih kasar, tetapi dia tetap hormat saya sebagai suami. Saya tidak terasa hati kerana sudah mengenalinya luar dan dalam,” katanya.
Sebelum ini, beberapa rakaman video Syatilla yang dimuat naik di Instagram sering menjadi bualan warganet kerana dianggap terlalu kasar, biarpun ketika bergurau dengan suaminya.
Sam turut berkata, walaupun dia bersikap terbuka dengan isterinya itu, dia pasti akan menegur Syatilla jika tingkah lakunya itu tidak manis pada pandangan mata orang luar.
“Mestilah saya tegur jika caranya tidak kena dengan keadaan. Tetapi, tidak selalu kerana Syatilla tahu menjaga batasan sebagai isteri. Dia tahu dan menghormati kedudukan saya sebagai ketua rumah tangga.
“Saya pula menganggapnya sebagai pelawak yang sedang membuat persembahan di pentas. Dia begitu spontan apabila berbicara dan pandai menyuntik elemen lucu.
“Cuma, biasalah manusia, penilaian kita tidak sama. Itu cara Syatilla menunjukkan kemesraan dengan mereka yang rapat. Tetapi, tidak pada orang luar yang mungkin menganggap, caranya itu kurang sopan,” katanya.
Sumber: BH Online