
Jerebu Hanya Akan Berakhir Pada Hujung September Atau Awal Oktober – Meteorologi Malaysia
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Jerebu yang teruk melanda sebahagian dari negara kita hanya akan berakhir seawal-awalnya pada hujung September atau awal Oktober depan.
Dipetik dari Kosmo, Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia, Jailan Simon dalam satu kenyataannya menjangkakan keadaan ini akan berakhir apabila angin monsun barat daya tamat.

“Kini angin monsun sedang bertiup ke arah kita dan apabila cuaca panas melampau meyebabkan kawasan hutan di Kalimantan terbakar mengundang jerebu yang tebal ke arah kita disebabkan tiupan angin itu.
“Pihak kami menjangkakan perkara ini akan berakhir pada penghujung bulan September atau bulan Oktober nanti apabila peralihan angin berlalu,” katanya yang dihubungi pihak Kosmo.

Turut Jailan lagi, pihaknya sedang giat melakukan usaha pembenihan awan di sekitar kawasan yang tinggi kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Sebelum ini usaha pembenihan awan telah dilakukan di Sarawak pada 12 September diikuti beberapa kawasan lain seperti di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 15 September.

Beliau bagaimanapun menyatakan yang usaha ini hanyalah usaha sementara dan bukan untuk penyelesaian jangka panjang.
“Kelmarin juga kami telah melaksanakan perkara yang sama di kawasan semenanjung seperti di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, namun ini hanyalah usaha sementara bukan penyelesaian jangka panjang,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan yang pihak Meteorologi Malaysia akan terus melakukan usaha pembenihan awan pada setiap kawasan yang masih terjejas teruk oleh jerebu.
Dalam satu lagi laporan yang dikeluarkan Sinar Harian, Menteri Luar Datuk Saifuddin menjelaskan yang barisan Kabinet akan membincangkan penyelesaian bagi masalah jerebu pada pagi ini (18 Sept)
Beliau turut menjangkakan yang laporan terkini mengenai jerebu akan dibentangkan pada oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi,Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.