Now Reading
“Sudah tiba masanya untuk saya lupakan…” – Ini Khabar Berita M Daud Kilau Selepas Lama Menyepi

“Sudah tiba masanya untuk saya lupakan…” – Ini Khabar Berita M Daud Kilau Selepas Lama Menyepi

Kalau anda tahu lagu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Gila Judi’, semestinya anda mengenali penyanyi veteren, Datuk M Daud Kilau yang dikenali sebagai Raja Gelek. Persembahannya yang lincah dan bertenaga memukau setiap penonton yang menyaksikan.

Namun, masa berlalu, dan kini beliau mengakui ingin melupakan dunia hiburan kerana kesihatannya yang merosot selepas mengalami masalah untuk membuang air kecil tiga tahun lalu.

“Sudah tiba masanya bagi melupakan dunia hiburan,” ini pengakuan pemilik nama Muhammad Daud Kilau yang kini tidak mampu untuk berdiri bagi menjayakan persembahan tarian atau bergelek di atas pentas.

Sebaliknya, penyanyi itu perlu melakukan rawatan susulan hampir setiap minggu di klinik dan hospital.

“Saya menghidap sakit kencing manis, kebas kaki dan tangan serta pinggang yang rasanya sakit sangat.

“Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek di atas pentas lagi. Tak boleh nak buat persembahan lagi,” katanya kepada Perak Gazette.

Penyanyi berusia 81 tahun itu juga terpaksa menolak semua tawaran persembahan termasuk di Singapura oleh kumpulan Black Dog Bone walaupun beliau ditawarkan hanya duduk di atas pentas.

“Saya menolak untuk membuat persembahan kerana saya tak boleh berdiri lama, saya selalunya lincah di atas pentas.

“Kalau datang duduk saja (di atas pentas) tak elok. Tak kan nak tunjuk muka saja. Black Dog Bone kata datang saja, mereka buat persembahan dan saya duduk saja,” ujarnya.

Tambah M Daud Kilau, beliau tiada sebarang perancangan dalam dunia hiburan setakat ini dan hanya mahu menghabiskan sisa hidup malah bersyukur Allah SWT masih memberikan peluang untuk bernafas.

Sumber : Perak Gazette

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.