fbpx
Now Reading
Walaupun Wajah Dihina Netizen, Siti Sarah Berat Hati Mahu Kenakan Tindakan Undang-Undang

Walaupun Wajah Dihina Netizen, Siti Sarah Berat Hati Mahu Kenakan Tindakan Undang-Undang

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

https://www.instagram.com/p/B6k6kcmFYrG/

Mendapat hinaan daripada warganet mengenai wajahnya membabitkan bentuk hidung pesek seperti dimuat naik di laman Instagram miliknya , penyanyi Siti Sarah Raisuddin belum memikirkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka.

Begitupun katanya, dia mengakui sangat terkesan dengan kenyataan terbabit yang masih berlaku menjelang 2020.

Katanya sewaktu ditemui, di saat berita mengenai Siti Nordiana mendedahkan bagaimana warganet masih menjadikan bentuk tubuh badan dan giginya sebagai satu penghinaan, dia tidak menyangka turut mengalami masalah sama.

Lebih membuatkan Sarah berasa kecewa apabila hidungnya menjadi bahan sendaan dan penghinaan sepanjang hayat dan dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menyatakan bahawa dia sangat sedih apabila setiap kali ada individu cuba menimbulkan perkara terbabit.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang memandangkan mereka yang menghina atau mempersendakan bentuk tubuh individu lain boleh didenda RM50,000 dan dipenjara setahun mengikut Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), kata Sarah, dia masih mempertimbangkan mengenai perkara itu.

“Saya sebenarnya berat hati untuk mengambil tindakan terbabit, tetapi saya tidak kata tidak mahu melakukannya. Takut kalau sekarang ini saya kata tidak mahu mengambil tindakan undang-undang tapi kemudian hari selepas berbincang mengenai perkara itu saya akan melakukannya.

“Saya memikirkan bagaimana situasi sekiranya mengambil tindakan undang-undang terhadap warganet yang menghina hidung saya itu.

“Untuk mengesan siapa individu yang memuat naik kenyataan menghina fizikal wajah saya itu tidak susah. Dengan bantuan pihak berkuasa dan peguam ia mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun kata penyanyi yang popular dengan lagu Semakin itu, dia bimbang sekiranya individu terbabit tidak dapat berhadapan dengan tekanan bakal diterima kerana akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, walaupun tertekan dan sedih dengan penghinaan dibuat membabitkan hidungnya, sekurang-kurangnya dia sedar mampu mendepaninya kerana sudah melaluinya sepanjang usia lebih 30 tahun ini.

“Cuma kepada individu itu, dia mungkin tidak pernah berdepan dengan tekanan disaman, dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman penjara atau harus membayar denda RM50,000.

“Takut perkara itu membuatkan dia berada dalam tekanan dan silap hari bulan mengambil jalan singkat serta membunuh diri. Nauzubillah! Perkara seperti itu yang mahu saya elakkan.

“Saya tahu orang yang menghina dan memuat naik di Instagram itu akalnya tidak panjang. Kalau akalnya panjang dia tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Atas alasan itu juga katanya, dia masih memikirkan adakah perlu atau tidak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menghina hidung peseknya itu.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.