fbpx
Now Reading
Lima Kes Berita Palsu Berkaitan Koronavirus Dalam Siasatan Polis

Lima Kes Berita Palsu Berkaitan Koronavirus Dalam Siasatan Polis

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kalau anda menyelusuri media sosial kini, ada banyak berita-berita mengenai wabak koronavirus yang sedang merebak di dunia, ada berita yang sahih dan palsu. Ada juga yang menimbulkan spekulasi dan fakta sendiri tanpa mengetahui sumber sebenar yang sahih.

Menurut Awani, polis telah membuka lima kertas siasatan berhubung penyebaran khabar angin serta berita tidak sahih berkaitan koronavirus baru (2019-nCoV) di media sosial.

Ia berhubung empat kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial menerusi Facebook dan satu kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Antara kenyataan palsu di Facebook melibatkan akaun bernama Mr Kong Tuck Wah, Ibu Yati, Roti Sardeen dan Gabungan Anak Terengganu.

“Siasatan kelima membabitkan penyebaran berita palsu menerusi Whatsapp berkenaan kematian banduan secara mengejut di Penjara Sandakan, Sabah, yang didakwa berpunca dari koronavirus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, lima kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ia memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.”Namun, terdapat kes yang turut disiasat mengikut Seksyen 203(A) Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga satu tahun.

“Manakala, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah Huzir, pihaknya dalam proses memanggil kesemua pemilik akaun Facebook terbabit untuk merakam keterangan.

“Kita menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel, kenyataan yang tidak sahih atau tidak tepat.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkaitan virus ini,” jelas beliau.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kenyataan yang dikeluarkan KKM bagi mendapatkan perkembangan terkini serta maklumat yang tepat dan sahih.

Bagi anda yang ingin menyebarkan makluman tentang koronavirus, mungkin anda harus berfikir dua kali dan pastikan kebenarannya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.