fbpx
Now Reading
Koronavirus : 147 Warga China Disekat Masuk Malaysia Setakat Ini

Koronavirus : 147 Warga China Disekat Masuk Malaysia Setakat Ini

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan jangkitan coronavirus di negara ini, seramai 147 warga China dari Wuhan dan Hubei dihalang memasuki negara ini sehingga semalam.

Kenyataan ini dikeluarkan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut Berita Harian.

“Dari 27 Januari hingga semalam seramai 147 warga China dari Wuhan dan Hubei dihalang memasuki negara ini termasuk 65 warga China yang bekerja dalam industri perkapalan di Pelabuhan Klang.

“Selain itu, 30 warga China dari wilayah terjejas yang mahu memasuki negara dari Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah, juga tidak dibenarkan masuk, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada sekatan terhadap warga China dari bandar dan wilayah lain untuk memasuki Malaysia setakat ini.

“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa Malaysia tidak menyekat 100 peratus kemasukan warga China berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan coronavirus sebagai darurat kesihatan awam global.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama rakyat Malaysia dan pelancong melalui alat pengimbas haba yang dipasang di pintu masuk ke Johor Bahru daripada Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Islandar (BSI) Johor Bahru sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak coronavirus di negara ini. – Foto Zain Ahmed

“Namun, WHO tidak meminta kemasukan warga China disekat sepenuhnya, jangan salah faham.

“Tindakan kementerian berpandukan keputusan sekatan yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan. Jika Kementerian Kesihatan kata tidak perlu sekatan, kita tidak akan buat,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, kementerian sentiasa bersiap siaga mengenakan sekatan mengikut Akta Imigresen jika Kementerian Kesihatan membuat keputusan ia perlu dilakukan.

Muhyiddin turut mencadangkan supaya alat pengimbas haba di CIQ BSI ditambah berdasarkan kemasukan hampir 70 peratus pelancong ke negara ini adalah menerusi CIQ. Keperluan itu berdasarkan aliran kemasukan pelancong yang tinggi.

Ketika ditanya sama ada Festival Perarakan Chingay 2020 yang akan diadakan pada 14 Februari di bandar raya ini perlu dibatalkan atas alasan kebimbangan penularan wabak coronavirus, Muhyiddin berkata, tiada sekatan ke atas festival berkenaan.

“Kementerian tiada halangan dan sekatan terhadap penganjuran festival berkenaan kerana kita sudah kawal pintu masuk negara dengan ketat, jadi buat apa kita mahu halang atau batalkan acara berkenaan,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.