
Doktor Terawal Beri Amaran Wabak Koronavirus Kini Terlantar Sakit
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa sangka pakar perubatan terawal yang memberi peringatan mengenai wabak koronavirus sebagai ancaman awam, kini dia pula terlantar akibat dijangkiti virus tersebut.
Memetik CNN, Dr Li Wenliang, 34 tahun dari Wuhan pada 30 disember lalu, melalui aplikasi mesej Wechat , telah memberi peringatan kepada rakannya supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.
Menurut mesej tersebut, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan telah dikuarantin . Ujian kemudian menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).
“Saya hanya mahu mengingatkan mereka supaya berhati-hati,” katanya kepada CNN.
Dia yang berniat menasihati rakan-rakannya untuk memberikan amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak menyangka, paparan skrin (screenshot) mesej yang dihantarnya menjadi tular kemudiannya.

Mesej yang tular itu kemudian menyebabkan pakar perubatan ini dituduh menyebarkan khabar angin sehingga dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana dituduh menyebarkan khabar angin.
Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan dan dibenarkan kembali bekerja. Namun tiada siapa menyangka dia pula yang dijangkiti wabak tersebut melalui seorang pesakitnya.
Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.
“Dr Li hanya mahu menjaga kepentingan orang ramai. Tidak masuk akal untuk menghukumnya,” kata Richard Watkins, seorang doktor dan profesor perubatan di Northeast Ohio Medical University, kepada portal Yahoo Lifestyle.
“Apabila doktor takut untuk memaklumkan perkembangan baharu yang mereka perolehi, banyak perkara tidak baik akan berlaku,” kata William Schaffner, pakar penyakit berjangkit dan profesor di Vanderbilt University School of Medicine.
“Menyembunyikan penyakit berjangkit takkan berjaya kerana ia akan tersebar,” tambahnya.