fbpx
Now Reading
Jualan Menu Kelawar Masak Lemak Dihentikan Kerana Koronavirus

Jualan Menu Kelawar Masak Lemak Dihentikan Kerana Koronavirus

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Nampak seperti menjijikkan, tetapi kalau anda nak tahu antara menu yang cukup popular dalam kalangan penduduk Indonesia di bandar Manado di Sulawesi Utara ialah kelawar masak lemak.

Namun, sejak seminggu lalu menu tersebut sukar didapati malah penjualan daging kelawar di Pasar Tomohon juga didapati semakin berkurangan.

Oleh itu, beberapa restoran di bandar Manado di Sulawesi Utara membuang kelawar daripada senarai hidangan mereka ekoran kebimbangan penularan wabak koronavirus.

Pasar Tomohon atau terkenal dengan jolokan ‘pasar menakutkan’ bukan sahaja menjual daging kelawar, malah turut menjual daging anjing, kucing, tikus, babi hutan dan ular.

Seorang pengusaha restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Mereyke berkata, dia sudah memberhentikan sementara menu kelawar yang sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Sudah seminggu kami tidak menjualnya. Kami mendapat tahu bahawa kelawar membawa virus itu (koronavirus),” katanya.

Seorang lagi pemilik restoran, Nicolina Pelealu berkata, dia membuang menu kelawar bagi memastikan perniagaannya tidak terjejas.

“Penyebaran berita palsu terutamanya membabitkan menu kelawar menyebabkan perniagaan saya sedikit terjejas.

“Tetapi, saya akan tetap memasak daging kelawar sekiranya mendapat tempahan peribadi terutama sekali daripada pelanggan tetap,” katanya.

Tabiat memakan haiwan eksotik dalam kalangan masyarakat di Sulawesi Utara bukanlah amalan keseluruhan rakyat republik itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa haiwan eksotik termasuk kelawar dan ular mungkin menjadi punca koronavirus yang tercetus di Wuhan, China.

Antara virus yang dikaitkan dengan kelawar ialah Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sistem Pernafasan Asia Barat (MERS) dan Ebola.

Sumber: Agensi, Sinar Harian

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.