fbpx
Now Reading
Selepas 30 Tahun, Rizalman Umum Bersara Sebagai Pereka Fesyen

Selepas 30 Tahun, Rizalman Umum Bersara Sebagai Pereka Fesyen

Keputusan pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim untuk bersara sebagai pereka fesyen pada malam Kesuma Jiwa iaitu persembahan pertunjukan fesyen terakhir beliau mengejutkan penonton dan peminat.

Antara alasan utama beliau adalah bimbang tidak bersedia untuk mengadap Yang Maha Esa.

Menurut ikon fesyen tanah air itu, ketika masih mempunyai kudrat dan diberi peluang untuk bernafas, beliau mahu melakukan persediaan yang secukupnya sebagai bekalan di hari kemudian.

Dalam masa sama, Rizalman, 49, berkata, berita pemergian rakan-rakan industri seni pada usia yang muda turut menjentik keinsafan pada diri beliau.

“Kematian beberapa teman membuatkan saya terkesan dan terfikir bahawa Allah boleh saja mengambil nyawa kita pada bila-bila masa.“Saya takut tidak bersedia apabila dijemput oleh Allah. Saya mahu pergi dalam keadaan bersedia.

Pengunduran ini adalah pelan persiapan saya untuk menghadapi hari kemudian,” kata Rizalman dalam sidang media sejurus berakhir pementasan Kesuma Jiwa di Istana Budaya, di sini malam ini.

Sebelum itu, beberapa minit sebelum persembahan Kesuma Jiwa melabuhkan tirai, Rizalman mengejutkan penonton dengan mengumumkan mengundurkan diri dari bidang fesyen.

Selepas 30 tahun mencurahkan khidmat dan bakti, personaliti kelahiran Pulau Pinang itu berkata, sudah sampai masanya untuk beliau menyerahkan jenama dan legasi Rizalman Ibrahim kepada pembantunya yang setia mendampinginya selama 15 tahun, Faizul Surani.

Berangkat sama pada pementasan Kesuma Jiwa ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pementasan Kesuma Jiwa turun menampilkan artis ternama tanah air, Dayang Nurfaizah.

© 2020 BuzzKini. All Rights Reserved.