
Covid-19 : Satu Lagi Kematian Di Malaysia
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini melaporkan satu lagi kematian Covid-19 di negara kita.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di Facebook berkata, kematian tersebut membabitkan kes 152 yang disahkan telah meninggal dunia pada 6.27 petang Jumaat.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian Covid-19 setakat ini meningkat kepada tiga orang korban.
Mengulas lebih lanjut, Hisham memaklumkan kes 152 adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh yang berhimpun di Seri Petaling, Kuala Lumpur.
“Beliau (mangsa) telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.
“Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.
“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada 6.27 petang,” tulisnya di facebook petang jumaat
Menerusi hantaran tersebut, Hisham turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.