Guru Besar Ini Berjaya Tahan Air Mata Di Hari Terakhirnya, Namun Jatuh Berjurai Di Depan Seorang Murid
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi resam kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Namun perpisahan itu sebenarnya begitu berat apatah lagi terpaksa meninggalkan semua kenangan manis.
Namun buat Cikgu Ahmad Firdauz, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nanas, Pontian, Johor yang baru bertukar tugasan dan tempat bertugas di Ibu kota, jiwanya yang selalu kental nya bagaimanapun ‘tumbang’ hanya kerana seorang pelajar.
Difahamkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maka tiada sambutan hari perpisahan atau perhimpunan secara besar-besaran diadakan bersama anak-anak didiknya.
Juster bersempena dengan hari terakhirnya dia diiringi beberapa guru pengiring telah melawat ke setiap kelas di sekolah berkenaan untuk kali terakhir.
“Oleh kerana PKPP, maka tiadalah perhimpunan bersama semua anak-anak SK Pekan Nanas dibuat sempena kepemergiaan aku.
“Jadi, aku pun pergilah dari satu kelas ke satu kelas. Biasalah, jiwa kental macam aku ni mana mudah menangis.
Berderai air mata selepas bertemu Ali
“Tetapi aku nyata salah… Sebaik tiba dikelas 2 Harapan, berderai juga air mata aku bila berhadapan dengan anak murid aku yang seorang ni.
“Ali… awak jaga diri tau, jaga hati ibu dan cikgu awak. Belajar rajin-rajin biar boleh bantu ibu awak nanti. Ingat tau. Tanpa sedar, bercucuran air mata turun,” tulis Firdauz di Facebooknya.
Jelas Firdauz, anak itu yang berusia lapan tahun merupakan antara murid yang digelarnya ‘bertuah’ dan dikenali kerana kenakalannya di sekolah.
Seorang pelajar ‘bertuah’ yang perlukan perhatian
Namun dia bukanlah pelajar yang bermasalah sebaliknya hanya memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Suasana ketika itu begitu menghibakan jelas Firdaus yang sudah berkhidmat di sana selama hampir 4 tahun.
“Ada 22 kelas saya masuk dan sampai ke kelas Ali, saya menangis depan murid-murid kelas tu. Ada beberapa guru ketika itu, termasuk yang mengiringi saya. Sayu sangat.
“Ali pelajar nakal, tapi anak-anak macam Ali ni bukannya jahat. Dia ada masalah keluarga
“Tanpa sedar, bercucuran air mata turun.. Mana tidaknya, si Ali ni antara murid paling ‘bertuah’ kami disekolah ini.
“Tapi anak-anak macam Ali ni bukannya jahat, tetapi kurang perhatian dan kasih sayang. Di sekolah lah mereka tunjuk belang untuk dapatkan perhatian.
Kerap menyapanya ketika bertemu, juga tempat mengadu
“Maka selalu lah si Ali kena menghadap aku.. Tapi yang aku terharunya, dia jugalah yang tak jemu jemu menyapa aku bila bertemu.
Meskipun begitu, Ali boleh dikategorikan kanak-kanak yang pintar malah dia banyak merujuk kepada Firdaus dan menjadi tempat anak kecil ini mengadu sekiranya kelaparan dan sebagainya
“Cikgu, saya tak bawa duit”
“Takpe, nah RM2, pergi beli makan. Kau beli benda lain, cikgu sebat kau”
“Yeay! Terima kasih Gubeso!”
Jelas dari situ pendidik berdedikasi ini mula memahami keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan malah dia menganggap pelajar darjah dua ini umpama seorang anaknya
“Ali yang paling selalu menyapa saya. Nampak dari jauh mesti dia lambai dan jerit.
“Saya anggap dia macam anak. Saya sebagai bapa dia,” katanya.
Kini bertanggungajawab menguruskan Bahagian Genius Kurnia, Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) di Sentul selaku Ketua Program II, Ahmad Firdauz mendoakan agar semua muridnya di SK Pekan Nanas termasuk Ali akan berjaya bukan sahaja di dunia malahan dan akhirat.
“Kejayaan itu bukan hanya diukur dalam bilangan A, tetapi sejauh mana mereka boleh memberikan yang terbaik dalam kehidupan,”
Cikgu Ahmad Firdauz
“Aku tak mampu buat apa-apa selain menjadi abah yang terbaik untuk 625 murid SK Pekan Nanas sepanjang berkhidmat disana..
“Hanya doa dan memori yang indah akan aku sentiasa titip dan ulang setiap hari hingga ke akhir nanti” tulis Cikgu Firdauz menutup penulisannya