fbpx

Tular Foto Dukung Ibu Di Hari Nikah, Ini Kisah Sayu Disebaliknya

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini kami ada menerbitkan artikel mengenai foto tular yang memperlihatkan seorang pemuda yang mendukung ibunya di hari pernikahannya.

Foto berkenaan yang dikongsikan jurufoto Mohamad Amirul Haziq menerusi laman Facebook Seniman Visual benar-benar mengundang hiba dikalangan netizen terutama foto pemuda berkenaan mendukung ibunya keluar dari sebuah kenderaan dan fotonya sedang mencium tangan ibunya yang berkerusi roda.

Jelas adegan berkenaan memperlihatkan nilai kasih sayang seorang anak serta pengorbanan ibunya yang mahu melihat kebahagiaan si anak di hari pernikahannya

Terbaru pemuda terbabit,Mohamad Karami, 23 berkongsi cerita disebalik foto tersebut.

Rutin hariannya menjaga ibu termasuk membuat rawatan

dukung emak

Menurutnya foto berkenaan bukanlah gimik sebaliknya ia sudah menjadi rutin hariannya untuk menjaga ibunya Heryalti Tayalis, 53, sejak januari lalu. Malah disebabkan keadaan berkenaan dia terpaksa berhenti kerja demi menjaga ibunya.

“Memang sudah menjadi rutin ke mana-mana termasuk membuat rawatan susulan di hospital, saya akan mendukung mama kerana dia tidak boleh berjalan akibat terjatuh pada Oktober lalu yang menyebabkan pendarahan pada otak kanan.

“Bagi saya mama keutamaan dan permaisuri hati saya, sebab itu saya sanggup berhenti kerja Januari lalu”

Mohamad Karam

Sebak sebab doktor pernah beritahu mama mungkin sukar diselamatkan

“SAYA sebak dan terharu waktu itu kerana tak sangka Allah masih beri peluang dengan memanjangkan umur mama untuk melihat detik akad nikah saya.

“Sebelum ini, doktor beritahu mungkin mama tidak dapat diselamatkan, tetapi saya bersyukur Allah beri kekuatan untuk mama melawan penyakitnya dan berpeluang berkongsi detik istimewa hari bahagia saya,” kata Karami yang bernikah bersama isterinya Nadia syafiqah Hamzah.

Tambah Karami, dia bersyukur momen di majlis bahagianya itu sempat dirakam jurufoto, Amirul yang juga seorang kenalannya.

Menangis kerana khutbah nikah mengenai memuliakan orang tua

“Detik saya menangis selepas akad nikah antara yang tidak dapat saya lupakan apabila kadi itu memberi khutbah mengenai memuliakan orang tua.

“Katanya, kita ini hebat dan disanjung sebab ada ibu ayah kita. Kata-kata itu membuatkan ego saya jatuh dan mata saya berkaca-kaca.

“Detik itu bertambah syahdu apabila mama menangis dan peluk saya erat lama selepas akad nikah apabila saya meminta ampun dan berterima kasih kerana dia tengok majlis saya walaupun masih belum sembuh sepenuhnya,” katanya.

Karami difahamkan akan terus menjga kedua ibubanya selepas berkahwin kerana kakaknya sudah berkahwin dan mengikut suaminya di Senawang.

“Ini amanah saya sebagai satu-satunya anak lelaki memandangkan kakak saya pun sudah berkahwin dan mengikut suaminya, di Senawang.

“Saya akan menjaga kedua-duanya sampai bila-bila selagi mana termampu dan saya berharap semoga ini menjadi inspirasi semua anak di luar sana supaya menjaga ibu bapa selagi mereka masih hidup,” katanya.

Bagi Amirul pula, dia yang tidak mengetahui kondisi ibu rakannya sebelum itu bagaimanapu seolah terpaku apabila melihat rakannya mendukung ibunya keluar dari kereta.

Melihatkan detik itu ada sentuhan dan ceritanya yang boleh dijadikan kenangan dia lantas merakamkan detik penuh bermakna itu  yang menurut merupakan majlis paling sebak pernah di rakamnya.

“Tindakan merakam detik itu tidak dirancang. Saya pun tidak tahu ibu dia dalam keadaan macam itu. Pada hari kejadian, saya memang bertugas merakamkan pengantin lelaki dan tiba-tiba Mohamad Karami berlari ke arah kenderaan itu sebelum mendukung ibunya.

“Apabila saya nampak detik itu, saya tidak lepaskan peluang merakamkan detik penuh bermakna itu kerana saya melihat ia ada sentuhan dan ceritanya yang boleh dijadikan kenangan untuk mereka sekeluarga.

“Secara jujurnya, selama lapan tahun saya berkecimpung dalam bidang ini, inilah majlis akad nikah yang paling sebak pernah saya rakamkan, malah mereka yang hadir majlis itu juga turut mengalirkan air mata melihat kasih sayang dua beranak itu,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.