fbpx
Now Reading
Akui Kesilapan Maklumat Pakej Unifi, TM Mohon Maaf

Akui Kesilapan Maklumat Pakej Unifi, TM Mohon Maaf

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Telekom Malaysia (TM) hari ini menerusi satu kenyataan menjelaskan pihak mereka tiada melakukan sebarang perubahan pada konfigurasi upload speed bagi pakej UNifi 500Mbps

Mereka bagaimanapun mengakui terdapat kesilapan pada maklumat pakej tersebut pada soalan-soalan lazim (FAQ) yang tertera pada risalah dan portal mereka pada 2 September lalu

Jelas mereka konfigurasi kelajuan muat naik yang sebenarnya bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukan 200Mbps seperti tertera dalam versi FAQ, portal unifi dan risalah sebelum ini.

“Telekom Malaysia Berhad ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps sedia ada.

“Kami ingin memaklumkan bahawa pembetulan telahpun dibuat mengenai kesilapan kelajuan muat naik bagi pakej 500Mbps yang telah tertera di Soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah yang bertarikh 2 September 2020. Konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukannya 200Mbps seperti mana yang tertera bagi edaran versi sebelumnya dalam FAQ, portal unifi dan risalahnya.

“Kami ingin memohon maaf di atas sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dan akan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi telah dikemas kini dengan maklumat yang betul” tulis kenyataan tersebut.

Pelanggan boleh memilih tidak meneruskan langganan tanpa penalti

Menerusi laporan Harian Metro, TM difahamkan membenarkan pelanggannya yang baru sahaja melanggan pakej tersebut untuk menghentikan langgan tanpa dikenakan sebarang penalti

“Kami ingin memaklumkan bahawa semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan atau “Try Me” memandangkan pakej berkenaan baru saja diperkenalkan kurang sebulan lalu iaitu pada 24 Ogos 2020.

“Oleh itu, pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.

“Kami juga akan menghubungi pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kesilapan itu dan pilihan yang mereka ada, bermula Isnin, 21 September 2020.

Perbezaan pakej 500Mbps sebelum dan selepas yang tular di sosial media Foto Via Soya Cincau

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah dikemas kini dengan maklumat yang betul,” jelas pihak TM yang dalam masa sama turut memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

“Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluarkan penjelasan berkenaan perkara itu Jumaat lalu.

“Kami akan terus bersikap telus dalam memaklumkan kepada pelanggan mengenai perkara ini, dan kami sedang memperkemas proses-proses kami supaya perkara sebegini tidak berulang.

“Pada masa sama, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SKMM dalam proses siasatan mereka,” katanya.

Terdahulu SKMM pada pagi Ahad mengeluarkan kenyataan bertajuk “MCMC Siasat Aduan Pengurangan Kelajuan Pakej unifi Berbanding Tawaran Awal” selepas tular isu tersebut di media sosial selepas ianya dikongsikan seorang pengguna Unifi yang dikongsikan Portal Soya Cincau.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.