fbpx
Now Reading
Kes Saman Vivy Yusof, Netizen Di Arah Fail Pembelaan

Kes Saman Vivy Yusof, Netizen Di Arah Fail Pembelaan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari mengarahkan seorang netizen yang disaman pengasas FashionValet and dUCK Group, Vivy Yusof di atas dakwaan memfitnah untuk memfailkan penyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Netizen wanita tersebut yang merupakan defendan tunggal didakwa memfitnah Vivy menerusi laman sosial berhubung cara kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat penularan Covid-19

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Syakirin Shazwan yang mewakili netizen wanita tersebut iaitu Alia Najwa Hassannudin kepada media usai pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datin Rohani Ismail petang tadi

Peguam Pauling Hee yang memakili Vivy turut hadir bersama di mahkamah.

Peguam Mohd Syakirin Shazwan yang mewakili defenden Foto : Kosmo

“Saman itu berjaya disampaikan kepada anak guam saya secara penyampaian ganti berikutan plaintif (Vivy) sebelum ini gagal menyerahkan saman itu melalui serahan tangan.

“Sebelum ini, pihak plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya saman diberikan secara penyampaian ganti dengan mengiklankannya di surat khabar,” kata Mohd Syakirin.

Mohd Syakirin yang ditanya adakah kedua pihak akan cuba menyelesaikan kes saman ini secara baik berkata pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak plaintif.

Jelasnya, mahkamah menetapkan 4 Januari 2021 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Vivy pada 15 Jun lalu telah memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Foong Cheng Leong & Co. dengan menamakan Alia Najwa selaku defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof. berkata, pada 28 Mac lalu, beliau telah menerbitkan rakaman video dalam akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy kemudian mendakwa pada 30 Mac lalu, defendan menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif dalam akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40 sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan fitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Tambah Vivy, penerbitan penyataan fitnah itu telah menyebabkan pelancaran satu petisyen di laman web sekitar 1 April lalu bagi mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan dan petisyen itu ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarkan.

Tambah Vivy pada 2 April lalu, dia telah menghantar satu surat tuntutan kepada defendan menuntut supaya defendan berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial.

Namun plaintif mendakwa defendan ada membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf (dalam bentuk video) yang akan ditetapkan  plaintif.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.