Disedut Keluar Pesawat Semasa Di Udara Kerana Cermin Pesawat Tercabut, Kisah Pilot Ini Pernah Gegarkan Britain
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kemalangan di udara atau jatuh dari satu tempat yang begitu tinggi adalah antara perkara yang ditakuti oleh sesiapa sahaja.
Ini kerana peluang untuk anda terselamat atau dalam erti kata lain – untuk terus hidup adalah begitu tipis.
Namun seorang juruterbang British Airways (BA) benar-benar bernasib baik apabila dia berjaya diselamatkan dari terjatuh selepas disedut keluar dari pesawatnya pada 30 tahun dahulu.
Dalam kejadian pada 10 Jun 1990 itu, Kapten Tim Lancaster dan pembantu juruterbang, Kapten Alastair Atchison sedang membawa 81 penumpang bersama 4 krew menaiki pesawat British Airways 5390, jenis BAC-111 sedang dalam perjalanan ke Malaga, Sepanyol dari Lapangan Terbang Birmingham.
Namun sewaktu melintasi daerah Oxfordshire di ketinggian 17,300 kaki, cermin di bahagian ruangan kiri kokpit secara tiba-tiba meletup dan tercabut menyebabkan pesawat kehilangan tekanan udara.
Ini sekaligus menyebabkan Lancaster yang sedang mengemudi pesawat di sebelah kiri kokpit ditarik dan disedut keluar dari pesawat.
Nasibnya benar-benar baik apabila kakinya tersangkut pada stereng pesawat menyebabkan hanya 3/4 badannya tergantung di luar pesawat. Namun keadaan itu membuatkan kedudukan stereng terkalih sekaligus menyebabkan pesawat menjunam dan semakin melaju.
Seorang krew penerbangan, Nigel Ogden yang kebetulan masuk ke kawasan kokpit tersebut terus mencapai dan memeluk kaki bagi mengelakkan dia dari tercampak keluar.
Pembantu Juruterbang, Atchison tanpa menunggu lama kemudiannya terus membuat panggilan kecemasan kepada petugas lalu lintas udara memaklumkan situasi mereka dan memohon melakukan pendaratan kecemasan.
Dalam situasi yang getir itu, panggilan Athchison kemudian dijawab sebuah menara lalu lintas udara yang memberikannya pelepasan untuk ke Lapangan Terbang Southampon seterusnya melakukan pendaratan kecemasan.
“Apa yang saya ingat pada itu ialah pembantu juruterbang, Atchinson sedang bergelut mengawal pesawat sambil menjerit ‘Mayday! Mayday!’ berulang kali ke radio.”
Krew penerbangan, Nigel Ogden
Namun apa yang lebih merisaukan Ogden pada waktu itu adalah keadaan kapten mereka yang masih lagi tersangkut di luar pesawat apatah lagi dia sendiri menjadi saksi kepala Lancaster berkali-kali terhentak pada badan pesawat.
Lancanster yang berlumuran darah pada waktu itu sudahpun berada dalam keadaan separa sedar disebabkan kekurangan udara selain mengalami radang angin disebabkan cuaca di luar yang sejuk melampau dipercayai sekitar -16 darjah celcius.
22 minit untuk tiba ke Lapangan Terbang Southampton pada waktu itu pastinya menjadi satu tempoh yang paling lama dalam hidup mereka, Ogden yang kepenatan dan mengalami patah bahu dan frost bite kerana memeluk kaki Lancaster kemudiannya dibantu oleh dua lagi krew penerbangan termasuk Simon Rogers.
Berjaya bertahan sehingga mendarat
Usaha mereka ternyata berhasil dan nyawa Lancaster sememangnya masih panjang. Meskipun ramai menyangka dia sudahpun menemui ajal, Lancaster benar-benar masih kuat dan terus bertahan sehinggalah mereka mendarat.
Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebaik sahaja mereka selamat mendarat.
Susulan dari peristiwa tersebut, Athison dan Ogden kemudiannya telah dianugerahkan pingat sebagai menghargai jasa dan keberanian mereka.
Jelas sekali kedua mereka bukan sahaja berjaya menyelamatkan nyawa kapten mereka, sebaliknya mereka berdua telah pun menyelamatkan puluhan nyawa yang berada di dalam pesawat BA tersebut.
Cermin baru dipasang sehari sebelumnya
Siasatan yang dilakukan syarikat penerbangan dan badan berwajib kemudiannya mendapati punca sebenar kejadian adalah penyelenggaraan yang salah di mana cermin berkenaan sebenarnya baru sahaja dipasang sehari sebelum kejadian.
Pemasangan cermin baharu bukanlah satu masalah besar namun cara pemasangan dan penggunaan saiz selak skru yang salah menjadi faktor utama kejadian buruk berkenaan.
Difahamkan dari sejumlah 90 selak skru pada cermin tersebut, 84 darinya adalah kecil dari yang sepatutnya. Lebih malangnya baki 6 skru pula meskipun diameternya adalah tepat ia terlalu pendek berbanding yang diperlukan.
Tonton video penerangan di bawah :