fbpx
Now Reading
Kenapa Media Selalu Kaburkan Muka Pesalah atau Orang Kena Tuduh? Ini Jawapannya

Kenapa Media Selalu Kaburkan Muka Pesalah atau Orang Kena Tuduh? Ini Jawapannya

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Lumrah kita sebagai manusia pasti sentiasa ingin tahu tentang sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita.

Perasaan itu akan menjadi lebih kuat sekiranya hal tersebut membabitkan isu-isu besar seperti jenayah, isu tular, perlakuan sumbang dan banyak lagi.

Namun rasa ingin ambil tahu itu pasti akan terencat sekiranya gagal menemui info seperti nama, video atau gambar berkaitan perkara tersebut. Sebagai contoh potret atau video suspek jenayah yang dikaburkan pihak media.

Persoalannya kenapa? Apa yang membuat media mengaburkan wajah dan identiti mereka? Buat anda yang tidak tahu, pasti akan tertanya-tanya dan tidak kurang juga yang menghamburkan kata-kata kurang manis kepada organisasi media seperti mereka cuba melindungi identiti individu tersebut.

Selain itu ada juga yang selalu berkata, “Kenapa kaburkan wajahnya, biarlah semua orang tahu siapa dia”.

Etika kewartawanan

Sebenarnya semua ini disebabkan etika kewartawanan. Etika yang juga dikenali sebagai nilai-nilai akhlak ataupun prinsip moral.

Meskipun etika kewartawanan ini bukanlah satu undang-undang bertulis, namun ianya sentiasa dipegang kemas oleh mana-mana individu yang bergelar wartawan bagi memastikan mereka terus kekal bertanggungjawab dan profesional semasa bertugas, lapor Awani.

Bagi Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, terdapat beberapa perkara yang perlu dijaga oleh media antaranya adalah:

  • Foto suspek kes jenayah yang belum dituduh di mahkamah
  • Orang kena tuduh (OKT) bagi mana-mana kes berkaitan salah laku seksual membabitkan ahli keluarga
  • Kanak-kanak
  • Pesalah juvana
  • Keluarga pesalah

Semua ini adalah bersebab dan mempunyai alasan tertentu.

“Kena ingat asas kewartawanan adalah seseorang yang dituduh atau didakwa bersalah masih belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.”

Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Fiah

Sebagai contoh, jika seorang individu itu ditahan atau direman, wajahnya akan dikaburkan tanpa mengira identiti, latar belakang, bangsa dan agamanya.

Namun wajahnya mula terlihat tanpa dikaburkan dan namanya juga muncul dalam laporan media selepas dia dituduh atau dibicarakan di mahkamah.

Pesalah juvana juga dikaburkan

Dalam hal membabitkan pesalah juvana, kanak-kanak dan keluarga pesalah pula, antara faktor utama mengapa media memilih menutup wajah dan identiti mereka adalah bagi memastikan tidak timbul kesan jangka panjang pada masa hadapan.

Foto contoh gambar kanak-kanak yang dikaburkan Foto : BH

Jelas beliau, ini kerana masyarat akan ‘menjatuhkan hukuman’ terhadap individu-individu terbabit dan seterusnya memberi kesan psikologi kepada mereka untuk jangka masa panjang.

“Masyarakat akan menjatuhkan hukum terhadap kanak-kanak serta keluarga pesalah terbabit dan kesan jangka panjangnya apabila kanak-kanak itu semakin membesar. Sudah tentu ia akan memberi kesan psikologi,” jelas Ahmad Faisal lagi.

Foto sekadar hiasan Foto: Harian Metro

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut berpesan kepada masyarakat untuk tidak mempertikaikan tindakan-tindakan organisasi media.

Ini kerana semua organisasi media di Malaysia telah pun dilingkari dengan berbagai-bagai undang-undang dan peraturan yang mungkin tidak disedari segelintir masyarakat seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 Serta Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Masyarakat perlu sedar bahawa media berpegang pada kebenaran dan berusaha sebaik mungkin untuk menyebarkan maklumat kepada umum mengikut peraturan sewajarnya,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.