Jururawat & Pemandu Maut Selepas Kenderaan KKM Terlibat Dalam Kemalangan
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang pemandu dan seorang jururawat kesihatan hari ini dilaporkan meninggal dunia selepas kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan (Pahang) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Pekan-Rompin.
Menerusi perkongsian Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, kemalangan yang meragut nyawa pemandu KKM Allahyarham Encik Mohd Zuhairi Abdulah dan jururawat, Allahyarhamah Puan Julayha binti Kudustersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori tangki, sebuah kereta Perodua Myvi dan kenderaan 4×4 milik mereka.
Berita duka tersebut turut dikongsikan Ketua Pengarah Kesihtan, Tan Sri Dato’ Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di laman media sosialnya.
Beliau yang menzahirkan rasa simpatinya turut memaklumkan kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan itu sedang dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan rawatan pemeriksaan kesihatan berkala.
“Kemalangan tersebut telah meragut nyawa pemandu dan seorang jururawat, manakala seorang pegawai perubatan telah dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan,” tulisnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang mewakili KKM turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa-mangsa.
Dalam pada itu pihak bomba dan penyelamat memaklumkan bahawa pemandu lori dan kelindannya yang mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut kini berada dalam keadaan selamat dan sudah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Walau bagaimanapun, masih belum ada laporan yang sahih akan punca sebenar yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku sehingga meragut dua nyawa dan menyebabkan beberapa yang lain cedera.