fbpx
Now Reading
Polis Ranau Bina Khemah Atas Bukit Mudahkan Pelajar Akses Internet

Polis Ranau Bina Khemah Atas Bukit Mudahkan Pelajar Akses Internet

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui negara ketika ini sedang berdepan wabak Covid-19 yang semakin mengganas.

Sebagai langkah keselamatan kerajaan telah menangguhkan sesi persekolahan secara berdepan dan digantikan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah(PdPR).

Meskipun ianya semakin menampakkan hasil, kaedah ini masih lagi menjadi isu buat para pelajar yang mengalami masalah akses internet di kawasan pedalaman antaranya di Kampung Paus, Ranau, Sabah.

Prihatin dengan masalah tersebut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau telah mengambil inisiatif dengan membina sebuah khemah besar di atas bukit setinggi 100 meter disana bagi membantu pelajar mendapatkan capaian Internet yang baik.

Tindakan murni mereka membersihkan kawasan dan menyediakan khemah di atas bukit berkenaan juga sekaligus memberi manfaat kepada lebih 30 pelajar di kampung itu yang terletak 70 kilometer dari Pekan Ranau dan 20 km dari jalan utama,

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton, kesemua kelengkapan khemah termasuk meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota di tempatnya.

“Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau selain menyumbangkan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar di situ,”

Jelas Sammy,  seiring dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, petugas-petugas di IPD Ranau telah bergotong-royong pada Jumaat lalu untuk menyediakan keselesaan kepada pelajar yang menggunakan khemah berkenaan.

Pelajar disana sebelum ini terpaksa mendaki dan duduk di bukit tersebut pada setiap hari sesi persekolahan yang terletak di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Paus, Ranau bagi mendapatkan akses internet.

Menerusi laporan Bernama, pihak polis dari IPD Ranau juga akan melakukan rondaan pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pelajar disana.

Perkara sama turut dikongsikan IPD Ranau menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi mereka.

Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian netizen yang memuji dan bersyukur dan diatas inisiatif mereka.

Malah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin turut memuji usaha mereka yang disifatkan sangat membantu para pelajar di kampung tersebut.

“Dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang telah disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.