fbpx
Now Reading
Ada Yang Marah Ustaz Ebit Lew Tak Dibenar Teruskan Bantuan Di Semporna, Ini Fakta Yang Patut Anda Tahu

Ada Yang Marah Ustaz Ebit Lew Tak Dibenar Teruskan Bantuan Di Semporna, Ini Fakta Yang Patut Anda Tahu

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dapatkan isu trending, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !


Sejak petang tadi, kecoh media sosial selepas pendakwah dan aktivis kesayangan ramai, Ustaz Ebit Lew meluahkan rasa duka dan kecewanya kerana terpaksa menangguhkan misi-misi bantuan termasuk membina sekolah untuk orang Bajau Laut di pulau-pulau berdekatan perairan Semporna, Sabah.

Difahamkan beliau terpaksa membatalkan hasratnya atas sebab-sebab tertentu dan boleh berdepan hukuman sekiranya melanggar ‘undang-undang’ tersebut.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

“Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan disekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang. Bukan sekolah saya. Tiada caj. Lebih kepada tempat nak aktiviti dan pendidikan. Sebab dekat sana tiada tempat untuk buat begitu. Dari bot jer bagi bantuan”

Mengakui sudah membeli barangan keperluan seperti kayu untuk membina sekolah atau pusat masyarakat tersebut, Ustaz Ebit bagaimanapun redha dan menjelaskan yang beliau faham dan akur dengan arahan yang diterima.

Terharu dengan sikap prihatin anggota keselamatan dan penduduk Sabah

Bahkan beliau turut meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan dan sikap anggota keselamatan dan penduduk Sabah yang disifatkan beliau umpama keluarga sendiri.

Menerusi perkongsian sama beliau turut memaklumkan akan terus ke Tawau diiringi anggota keselamatan untuk meneruskan misi bantuan beliau di sana pula.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke Pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri.

“Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan.Saya akan terus ke Tawau dan tunggu flight di Tawau (untuk) sempurnakan sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji.

“Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah” tulis Ustaz Ebit.

Perkongsian tersebut bagaimanapun menyebabkan segelintir netizen marah dan tertanya-tanya kenapakah usahawan tersebut dihalang walhal misinya ke sana hanya untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk-penduduk etnik Bajau Laut di sana yang memerlukan bantuan.

Malah usahanya sebelum ini turut mendapat sokongan dari pasukan keselamatan dan aktivis di sana yang turut turun bersama-sama berganding bahu demi menjayakan misi bantuan kepada orang-orang Bajau Laut di pulau-pulau tersebut.

Bahkan sebelum ini kecoh mengenai kejayaan beliau yang berjaya mengislamkan ratusan masyarakat Bajau Laut disana yang tidak beragama khususnya di Pulau Tatagan sepanjang menjalankan misi bantuan tersebut.

Peta Pulau Tagatan di Perairan Sampoerna

Isu keselamatan Ustaz Ebit Lew

Meskipun tidak dijelaskan secara terperinci, ramai beranggapan isu ini sebenarnya hanyalah salah faham dan berkait rapat dengan isu keselamatan Ustaz Ebit Lew.

Ia dikuatkan selepas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali yang dihubung Harian Metro mengesahkan program Ustaz Ebit terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan kerana lokasi tersebut sebenanya sedang menjalani perintah berkurung.

“Perintah berkurung dilaksanakan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ia tiada kena mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Cuma kita minta beliau (Ebit Lew) rujuk dengan pihak berwajib, ia adalah bagi mengenalpasti status pulau dan penduduk terbabit,” katanya hari ini.

Tambah Hazani lagi, atas faktor keselamatan Ustaz Ebit digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa terlebih dahulu untuk sebarang aktiviti di kawasan Semporna yang terletak di bawah Esszone.

Tidak pernah halang program Ustaz Ebit

“Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustaz Ebit Lew di kawasan itu.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew” kata Hazani seperti dipetik Harian Metro.

Jadi apakah itu Esszone ?

Apa itu Esszone ?

Esszone ditandakan dengan warna merah

Orang Sabah dan Sarawak dan penjawat awam mungkin sudah cukup familiar dengan Esszone namun tidak bagi penduduk di Semenanjung.

Esszone sebenarnya merupakan sebuah zon yang telah dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak.

Merangkumi 10 daerah seperti Kudat, Kota Marudu,  Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu,  Kunak,  Semporna dan Tawau, zon ini dikawal oleh ESSCOM iaitu ejen penguatkuasaan keselamatan yang terdiri dari gabungan pasukan keselamatan negara iaitu ATM, PDRM dan Maritim (APMM)

Secara ringkasnya lokasi di sini dikawal ketat demi keselamatan penduduk Sabah dalam usaha kerajaan melindungi mereka dari ancaman bahaya luar antaranya aktiviti penculikan, rompakan bersenjata oleh lanun-lanun, diugut dan dicederakan pengganas dan banyak lagi.

Perintah berkurung sudah dilaksanakan sejak 7 tahun lalu

Malah untuk pengetahuan anda, perintah berkurung di Esszone tidak sama dengan pelaksanaan darurat yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Sebaliknya perintah berkurung ini sudahpun berlangsung sejak 7 tahun lalu iaitu dari 16 Julai 2014 sehinggalah ke hari ini.

Tragedi Pencerobohan Lahad Datu

Namun insiden terburuk yang pernah dikaitkan dengan kawasan ini adalah Tragedi Pencerobohan Lahad Datu, di Tanduo yang kemudian merebak ke Semporna membabitkan 235 pengganas Filipina yang telah mengorbankan nyawa 12 perajurit negara yang terdiri dari pelbagai unit seperti VAT 69 (Komando) , Cawangan Khas Bukit Aman, PGA, Polis IPD Tawau dan Batalition 7 (RAMD)

Antara anggota keselamatan yang terkorban semasa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas

Malah ramai penduduk Sabah sendiri mengakui takut untuk ke sana sehinggalah ke hari ini kerana khuatirkan keselamatan mereka.

Justeru berbalik kepada isu keselamatan Ustaz Ebit. Kami yakin semua bersetuju jika kami katakan pendakwah kesayangan kita ini sebenarnya merupakan seorang Very Very Important Person (VVIP).

Beliau bukan sahaja dikenali ramai malahan mempunyai pengaruh yang sangat besar. Sebut sahaja namanya pasti satu Malaysia hatta media di negara luar sendiri sudah mengenali dan menyenangi sikapnya.

Justeru kehadiran beliau lokasi pulau-pulau yang terletak di perairan Sampoerna tersebut yang bersatus ‘Redzone’, pastinya berbahaya dan berisiko tinggi. Ia secara tidak langsung menimbulkan rasa khuatir di kalangan orang ramai sekiranya beliau menjadi sasaran individu atau kumpulan yang mempunyai niat tidak baik.

Jika sebelum ini beliau dilihat diiringi sejumlah anggota dari beberapa unit keselamatan seperti APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu menjalankan misi bantuan untuk masyarakat Bajau Laut, mungkin selepas ini pasukan pengiring tambahan boleh disediakan memandang faktor geopolitik di sana, iaitu ‘apa sahaja perkara boleh terjadi’

Jadi siapa sebenarnya orang Bajau laut? Kenapa mereka bukan berstatus warganegara.

Kami yakin anda sudah cukup masak dengan prinsip Ustaz Ebit. Beliau cukup dikenali kerana sifat pemurah dan prihatinnya dengan menghulurkan bantuan pada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara seseorang.

Justeru tindakan beliau membantu masyarakat Bajau Laut yang dikatakan bukan warganegara adalah satu perkara biasa.

Tapi kenapa kebanyakan mereka tidak mempunyai kerakyatan?

Ini kerana asal usul Orang Bajau Laut di perairan Semporna dan kawasan berhampiran adalah tidak jelas, berbanding dengan Orang Bajau Darat yang memang menetap di Borneo.

Persoalan agama kami ketepikan, kerana terdapat pelbagai dakwaan yang mengatakan mereka ini sebenarnya sudah beragama jadi lebih baik untuk tidak diperbincangkan.

Dari segi penempatan pula, sesuai dengan nama Palaoh, mereka dari dahulu sudah menghuni di kawasan perairan Laut Sulu, Laut Celebes dan Laut Sulawesi iaitu kawasan persempadanan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Ekoran sudah biasa hidup secara nomad dengan berpindah randah dari satu negara ke satu negara tanpa menghuni di darat, perkara ini akhirnya menjadi satu masalah besar buat mereka.

Semuanya bermula selepas pembentukan Malaysia. Namun nasib mereka lebih malang selepas wujudnya sempadan antarabangsa di antara Malaysia dan Filipina sekaligus menyukarkan kerajaan untuk mengesahkan status kerakyatan mereka.

Sebagai contoh Ketua Kampung Pulau Sibuan, Almasin Almadal, yang ditemui Astro Awani turut mengakui kebanyakan penduduk di kampugnya suatu masa dahulu berasal dari Filina, namun jika dilihat dari segi angka, mereka sudah menetap di Sabah sejak 50 tahun dahulu; suatu tempoh yang begitu lama.

Disebabkan perkara inilah ramai dari mereka yang tidak mempunyai kerakyatan dam bergelar stateless. Namun begitu, mereka tetap dilayan seperti rakyat tempatan dan langsung tidak pernah dicop sebagai PATI.

Jadi apa kaitan tiada kerakyatan mereka dengan keselamatan?

Ketiadaan dokumen sebagai identiti diri mungkin menjadi faktor besar disini. Ini mungkin menyukarkan pasukan pengiring Ustaz Ebit untuk mengenal pasti dengan siapakah mereka sedang berurusan atau dalam bahasa mudahnya adakah itu KAWAN atau LAWAN.

Sejarah sebelum ini juga sudah membuktikan terdapat usaha pengganas dan penjenayah PATI yang cuba menyamar menjadi warga tempatan.

Tugasan mereka pasti akan lebih mudah dengan menyelinap dengan menyamar menjadi penduduk disana.

Namun taktik ini sukar diteruskan sekiranya Ustaz Ebit mempunyai kerjasama dengan Esscom. Ini kerana Esscom memiliki banyak maklumat dan info mengenai masyarakat Bajau Laut baik yang bersatus warganegara dan juga bukan kerana mereka sudahpun melakukan beberapa bancian dan kajian populasi sejak beberapa tahun yang lalu.

Justeru langkah terbaik adalah dengan menghentikan sementara segala misi-misi bantuan ini demi kebaikan semua dan disambung kembali dengan persiapan ‘rapi’

Ustaz Ebit yang sentiasa diiringi pasukan keselamatan di Esszone


Tidak maklum pada ‘tuan rumah’ Semporna

Selain dari isu keselamatan, ada juga yang berpendapat ianya juga mungkin berlaku disebabkan Ustaz Ebit tidak memaklumkan rancangannya kepada ‘tuan rumah’ Semporna, iaitu Pejabat Daerah Sampoerna.

Perkara itu berbangkit dan dijawab sendiri oleh seorang pegawainya, Suhaimi Ejip. Meskipun memahami niat ikhlas pendakwah tersebut, namun menurut Suhaimi, Ustaz Ebit sepatutnya berkunjung sendiri ke pejabat mereka untuk masuk ke pulau berkenaan selain meminta izin untuk membina sekolah.

“Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki ‘rumah’, kita harus mengetuk ‘pintu rumah’ terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna.

“Sebaliknya hanya memaklumkan jadual perjalanannya melalui pembantu peribadinya dan tidak bertemu secara bersemuka menerangkan tujuan dan jabatan yang mempunyai autoriti yang membenarkan individu atau agensi masuk ke daerah adalah Pejabat Daerah,” katanya dipetik dari portal Sinar Harian.

Tambah Suhaimi lagi perkara ini terletak di bawah Ordinan Tanah Bab 68 (permohonan tanah) sekiranya Ustaz Ebit bercadang membina pondok kekal untuk Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan pulau.

“Kita memberi sokongan moral kepada beliau sebagai Muslim namun untuk pembinaan penempatan di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS).

“Jika Ebit melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), mereka juga perlu rujuk kepada Pejabat Daerah. Kalau buat pondok sementara kita mungkin boleh benarkan atas dasar budi bicara namun jika mendirikan kelas KAFA ia bersifat kekal dan pulau itu ada pemilik atau pewarisnya,” katanya lagi.

Persoalannya, jika ini yang menjadi punca sebenar tertangguhnya usaha murni Ustaz Ebit, apakah pihak berwajib tidak tampil dan menghubungi sendiri pendakwah berkenaan untuk menyelesaikannya dengan cara terbaik?

Apatah lagi segala inisiatif Ustaz Ebit sebelum ini baik di Semenanjung mahupun di Sabah Sarawak sedikit sebanyak telah memudahkan urusan mana-mana pihak berwajib sedangkan beliau langsung tidak mengharapkan sebarang pembalasan.

Jangan lupa, beliau adalah seorang pendakwah dan aktivis yang berasal dari Pahang, namun beliau sentiasa berada di pelusuk & ceruk Malaysia membantu orang yang memerlukan.

Justeru beliau seharusnya dibantu, misi kemanusiaannya juga harus diteruskan.

Orang Bajau Laut atau Orang Pala’u atau Raja Laut atau Gipsi laut, atau apa sahaja panggilan mereka.. mereka kini adalah saudara kita. Mereka sudah menjadi sebahagian dari masyarakat kita.. lebih dari 50 tahun dahulu..

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.