fbpx
Now Reading
“Buat Aduan Dalam Masa 48 Jam” – Peguam Kongsi Cara Buat Tuntutan Jika Terima Parcel Rosak

“Buat Aduan Dalam Masa 48 Jam” – Peguam Kongsi Cara Buat Tuntutan Jika Terima Parcel Rosak

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dapatkan isu trending, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !

Baru-baru ini nama syarikat kurier terkenal, J&T Express Sdn Bhd menjadi topik hangat netizen selepas tular satu kilp video memperlihatkan sekumpulan staf mereka melakukan mogok dengan melemparkan barangan di sebuah gudang di Perak.

Isu tersebut yang sepatutnya diselesaikan secara dalaman bagaimanapun menjadi besar selepas seorang demi satu seorang pelanggan tampil mendakwa barangan yang diterima mereka rosak ataupun hilang.

Meskipun pihak syarikat dan staf kemudiannya tampil memohon maaf dan menjelaskan ianya hanyalah salah faham di antara mereka, semua itu tidak mampu menyelesaikan masalah pelanggan yang terpaksa menanggung kerugian khususnya penjual.

Jadi apakah hak anda sebagai pengguna? dan apakah tindakan yang harus dilakukan sekiranya perkara sebegini terjadi. Jom ikuti penjelasan peguam terkenal, Puan Nor Zabetha berkaitan isu ini.

Apa hak pengguna, apabila barang yang diterima rosak?

Misalnya insiden barangan J&T yang dikendalikan secara kasar.
Saya tolak tepi isu komisen, isu marah dengan majikan, isu hak pekerja.Saya hendak fokus kepada hak pelanggan iaitu penghantar/penerima barangan.

Ada banyak diruang komen berkenaan aduan barangan yang diterima rosak, pecah dan bungkusan macam ‘belacan’. Isu dalaman J&T kita ketepikan dahulu. Bak kata pepatah “Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar”. Janganlah pasal hal dalaman, kita pelanggan pula terkena. Tak patut.

Andai kata ada menerima barangan rosak oleh J&T kerana situasi ini, saya telah membuat semakan kepada terma dan syarat bagi penghantaran oleh J&T. Setakat mana hak kita? Apakah situasi yang boleh kita tuntut?

Secara ringkasnya terma tersebut sangatlah kuat dan sangat menyebelahi J&T tetapi masih ada ruang, cara dan langkah-langkahnya kepada kita sebagai pelanggan

Selaras dengan terma dan syarat J&T ini cara-cara hendak menuntut barang rosak atau pecah akibat insiden baru-baru ini:

1) Aduan perlulah dibuat dalam masa 48 jam. Terlepas 48 jam ini, J&T ada hak untuk tolak permohonan kita (Klausa 16.3 terma dan syarat)

2) Aduan atau claim boleh call hotline 24 jam mereka iaitu 1300-80-9000 atau email seperti dalam Gambar 1 dibawah.

3) Bagi barangan rosak atau hilang, Klausa 16.1 memperuntukkan HANYA penghantar (sender) sahaja boleh membuat tuntutan atau wakil penghantar yang diberikan kuasa oleh penghantar secara bertulis.

Jadi kalau kalian adalah penerima, dapatkan pengesahan bertulis dari penghantar untuk memulakan tuntutan bagi pihak penghantar.

4) Perlu isi borang tuntutan ganti rugibukti bayaran melalui penyata bank, resit penghantaransalinan kad pengenalan atau SSM (kalau syarikat) dan lain-lain, nanti semak semula dengan J&T dokumen lain yang diperlukan.

5) Sediakan juga gambar-gambar kerosakan. J&T bakal menilai kerana berdasarkan terma, adalah menjadi tanggungjawab penghantar membuat bungkusan sewajarnya.

Maksudnya kalau barang mudah pecah perlu balut elok-elok dan jenis serta berat barangan perlu isytihar betul-betul.

Foto sekadar hiasan

Jika penghantar gagal mematuhi syarat ini, secara asasnya kalau barangan rosak, ianya bukanlah kesalahan J&T dan penghantar perlu menanggung kos dan kerugian akibat barangan rosak.

Jadi gambar membuktikan bahawa barang itu dibungkus elok adalah sangat penting. Tangkap gambar bukti kotak, bubble wrap dan bukti barang pecah dari dalam kotak lagi dan dipercayai sebab kecuaian.

6) Jumlah tuntutan adalah terhad, bukanlah boleh tuntut mengikut kehendak tetapi berdasarkan syarat dan termanya.

Misalnya bagi barang yang hilang atau rosak yang beratnya kurang dari 2kg yang dihantar secara domestik (dalam negeri), jumlah yang boleh dituntut adalah berdasarkan harga kerosakan atau kehilangan atau maksimum RM100 sahaja atau mana-mana yang lebih rendah.

Contoh, harga mainan kereta control yang dibeli dan dihantarkan adalah RM130.00. Kerosakannya adalah pada bahagian tayar yang terpatah. Dinilaikan sebanyak RM20 sahaja. Jadi tuntutan hanya RM20 sahaja.

Situasi lain, sekiranya kereta control ini hilang walaupun harga RM130, namun jumlah yang boleh dituntut hanyalah RM100 sahaja. Itu sahaja nilai maksimum berdasarkan terma.

Harganya berbeza, kalau domestik yang lebih 2.01kg, maksimum boleh tuntut RM300. Manakala barangan dari luar negara, maksimum RM400 tetapi ganti rugi akan diberikan kepada jumlah terpaling rendah berdasarkan siasatan dan semakan J&T.

Menerusi posting sama, Pn Zabetha bagaimanapun turut berpendapat pengendalian barangan pelanggan seharusnya dilakukan dengan baik.

Ini kerana menurut beliau,  para pelanggan sudah pun meletakkan kepercayaan serta syarikat perkhidmatan dengan melantik mereka untuk mengendalikan barangan milik pelanggan dengan baik.

Mesti ramai yang kata tidak berbaloi bukan? Kalau barangan ribu ringgit. Yang rosak ribuan ringgit tetapi boleh tuntut hanyalah RM300. Sedangkan dalam video kelihatan barangan dikendalikan dengan ganas.Tak adil!

Memanglah ada terma dan syarat dan terikat tetapi jelas dalam video, barangan diperlakukan sedemikian rupa. Langsung tidak ikut SOP atau terma dan syarat.Pada saya ini adalah pengingkaran terma iaitu mereka sepatutnya mengendalikan barangan dengan baik. Kalau sekiranya mereka ikut SOP atau terma tetapi apakan daya barangan rosak, faham juga. Tanpa disengajakan.

Tetapi kalau secara jelas, dicampaknya barangan kita ini. Tidak patut kerana kita meletakkan kepercayaan serta melantik mereka untuk mengendalikan dengan baik. Seperti mana kita mematuhi terma dan syarat penghantaran. Begitu juga mereka. Jika mereka telah mengingkari, maka kita boleh mengemukakan saman kerana perbuatan mengingkari terma sehingga menyebabkan kita hilang ribuan ringgit.Manalah tahu, keputusan berpihak kepada kita.

Oleh Nor Zabetha

Foto header : By Freepik

Business photo created by freepik – www.freepik.com

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.