fbpx

“Luahan Apa Yang Terbuku” – Lelaki Kongsi Foto Contengan Di Penjara Pudu Yang Kini Hanya Tinggal Sejarah

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dapatkan isu trending, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !

Sebut sahaja penjara, pasti satu perkataan yang terbit di kepala ialah ‘neraka dunia’. Tiada yang indah di sana sebaliknya semuanya menyesakkan.

Bukan sahaja digeruni masyarakat, malahan penjenayah sekali pasti berhati-hati bagi mengelakkan mereka terhumban ke dalam tirai besi ini, terasing dan dipisahkan oleh tembok dari dunia luar.

Kerana sebaik sahaja anda bergelar penghuni di sana, apa yang tinggal hanyalah kehidupan yang suram, kelam dan sepi.

Foto : Amri Daud

Menerusi grup Facebook, Malaysiaku Dulu Dulu, seorang lelaki, Amri Daud telah berkongsi pengalamannya ‘menerjah’ masuk ke Penjara Pudu, bangunan tinggalan sejarah kolonial British yang sudahpun dirobohkan.

Enggan mensia-siakan peluangnya memasuki bangunan tersebut pada 2009, Amri turut mengambil beberapa foto-foto suasana didalam bangunan berkenaan yang turut dikongsikan di posting tersebut.

Menurut Amri, satu perkara yang menarik perhatiannya adalah ‘seni’ contengan yang terdapat pada bahagian dinding yang rata-ratanya di dilakukan oleh penghuni penjara itu sendiri.

Ini kerana pada pendapatnya, semua hasil contengan tersebut sebenarnya adalah mesej, dan nukilan berupa luahan hati mereka yang pernah bergelar penghuni di sana sehinggalah ke hari terakhir sebelum penjara itu ditutup secara rasmi pada 1996.

Jom ikuti perkongsian Amri Daud di bawah:

Luahan Dinding, Pudu Jail

Foto : Amri Daud

Sebelum Pudu Jail dirobohkan, sempat juga dua tiga kali aku curi-curi masuk dalam melihat sisa-sisa isi di dalamnya. Ada juga masuk sebab kawan minta bawa.

Dulu masuk sebab suka-suka, ambil gambar pun suka-suka, takat apa yang ada saja. Sekarang bila dah takda, menyesal tu ada, kalau gambar tu diambil betul-betul, ‘harga’ dia mahal, story dia mahal.

Aku paling tertarik melihat seni-seni pada dinding penjara. Ada yang melukis, ada yang buat kalendar ‘menghitung hari’, ada menulis puisi meluah isi hati dan ada juga sekadar menampal gambar-gambar ‘modal’ untuk mereka ‘berfantasi’.

Tapi biar apa pun yang ‘ada’ pada dinding-dinding tu, yang jelasnya segala jenis ‘seni’ yang dihamparkan itu menunjukkan luahan apa yang terbuku.

Kawan aku kata “jiwang juga penjenayah ni ya”. Bagi aku tak, bukan jiwang, tapi mereka menulis perasaan mereka yang paling ikhlas (ketika tu).

Antara luahan mereka:

“Di kamarku menyepi seorang diri”

“Tolonglah aku”

“Selamat hari raya”

“Bagai nak gila kepala dalam penjara”

“Karna cita-cita akhirnya aku terdampar di sini. Merengkok aku di sini dalam ketandusan akal, batin dan segalanya. Semoga masih ada sirna untukku bagi menyuluhi hari depanku. Amin”

Foto : Amri Daud

Sayang, bukan niat kita untuk berpisah, tetapi sudah takdirnya begitu. Percayalah aku tetap seperti dahulu. Sayang betapa siksanya aku di dalam neraka ini. Tabahkanlah hatimu, aku akan kembali ke pangkuanmu”

“Karena ringgit aku jadi begini”

Foto : Amri Daud

Ada banyak lagi, tapi gambar tak berapa jadi. Ambil gambar pun laju-laju saja sebab gelap dan takut. Aku tak menggeledah semua sel.

Ada beberapa saja di floor bawah, banyak sel yang dah dicat dindingnya, tutup segala seni si banduan.

Nak berjalan pusing kawasan penjara aku berani lagi, tapi nak menggeledah, masuk sel satu-persatu ni hati aku tak cukup kering. Yang beberapa ni saja pon rasa dia lain mcm, meremang. Mungkin sebab aku penakut, kalau pemberani mungkin rasanya biasa saja.

Sekarang penjara pon dah takda, yang ada cuma gambar dan cerita-cerita saja. Kapitalis ni buta, nilai pudu jail, nilai cerita2 pudu jail, nilai pengajaran dari pudu jail ni lagi mahal dari harga semasa tanah tapak pudu jail tu sendiri…

Perkongsian Amri bukan sahaja menarik perhatian ribuan netizen, malah ramai berpendapat foto yang dikongsikannya turut membuka mata mereka tentang apa yang dirasakan banduan sewaktu berada di dalam penjara.

Malah ramai yang turut berpendapat foto-foto tersebut akan menyimpan 1001 memori memandangkan bangunan berkenaan juga tidak lagi wujud.

Lihat beberapa lagi foto yang sempat dirakam Amri di bawah :

Foto : Amri Daud
Foto : Amri Daud
Foto : Amri Daud
Foto : Amri Daud

Foto : Amri Daud

Untuk melihat galeri penuh foto yang diambil Amri Daud, sila tekan pautan di sini atau dibawah :

https://www.facebook.com/groups/malaysiakuduludulu/permalink/664379870888955/

Nota : Kesemua foto yang dikongsikan disini adalah hak milik Amri Daud

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.