fbpx
Now Reading
Permohonan i-Sinar KWSP Sebelum 25 Februari Mula Terima Bayaran Hari ini

Permohonan i-Sinar KWSP Sebelum 25 Februari Mula Terima Bayaran Hari ini

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Berita baik buat ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP). KWSP menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan permohonan kemudahan i-Sinar sedia ada yang dilakukan sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat bermula hari ini.

Menurut KWSP, ianya membabitkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.

“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan.

“Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Permohonan baharu selepas pemansuhan kriteria bermula 8 Mac 2021

Tambah mereka lagi, untuk permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac ini kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 mereka.

Ianya juga turut meliputi ahli KWSP yang bukan warganegara Malaysia.

“Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Pindaan juga boleh dilakukan bermula 8 Mac

“Bermula 8 Mac 2021 juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online,” jelas KWSP lagi.

Sebagai rekod, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu:

a.   Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b.  Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Untuk maklumat lanjut, pencarum boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.