Now Reading
Vincent Tan Mahu Dermakan Sebahagian Harta Selepas Pemergiannya

Vincent Tan Mahu Dermakan Sebahagian Harta Selepas Pemergiannya

Dapatkan isu trending, tips, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !

Siapa yang tidak kenal dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan. Statusnya sebagai seorang usahawan cukup gah di dalam dunia korporat malah sangat dikagumi rakyat biasa.

Beliau bagaimanapun baru-baru ini telah mencuri tumpuan ramai ekoran pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Berjaya Corp. bagi menggantikan anak sulungnya, Dato Sri Robin Tan yang dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Eksekutif.

Menurut Vincent, keputusan tersebut diambil sebagai langkah pertama beliau untuk melepaskan kawalan terhadap syarikat selain tidak mahu anak-anaknya terlibat dalam syarikat-syarikat di bawah kumpulan itu sebaliknya membiarkan ia diuruskan oleh pengurus profesional.

“Anak-anak saya boleh mulakan perniagaan mereka sendiri kerana mereka sudah pun memiliki perniagaan. Kita perlu ada pembatasan yang jelas tentang entiti disenaraikan dan syarikat swasta,” tegasnya.


Berhasrat dermakan separuh kekayaan selepas meninggal dunia

Terbaru, tokoh korporat itu sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai selepas beliau mengumumkan akan mendermakan separuh dari harta beliau untuk tujuan amal selepas ketiadaannya lagi.

Jelasnya adalah tidak adil untuk beliau meninggalkan seluruh kekayaan yang dimilikinya kepada ahli keluarga sahaja memandangkan pada pendapatnya segala hasil tersebut adalah dari banyak pihak khususnya dari sokongan rakyat Malaysia, selain konsesi dan lesen dari kerajaan sepanjang berkecimpung di dalam bidang perniagaan.

“Saya rasa adalah kurang bijak untuk meninggalkan semua kekayaan kita kepada keluarga kita sahaja memandangkan harta benda ini kita kumpul menerusi sokongan rakyat Malaysia, dan lesen serta konsesi kerajaan serta bantuan-bantuan lain daripada banyak pihak yang kita temui sepanjang kita mengumpul kekayaan itu” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama bersama penasihat The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Foto : NST

Berminat dalam pembinaan rumah mampu milik

Beliau juga menyatakan minatnya untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia dan dalam masa sama turut menyeru semua sektor swasta untuk melakukan perkara sama.

Jelas pemilik kelab bola sepak Cardiff City dan KV Kortrijk  itu lagi, tindakan itu secara tidak langsung dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah mampu milik kerana perumahan adalah keperluan asas manusia.

“Saya juga amat berminat dalam pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia. Berjaya telah mereka bentuk dan membina rumah seluas 900 kaki persegi (kps) dilengkapi lima bilik tidur dan empat bilik air/tandas serta unit seluas 750 kps dengan empat bilik tidur serta tiga bilik air/tandas.

“Sektor swasta harus bersedia untuk menjual rumah mampu milik dalam lingkungan harga antara RM250,000 dan RM300,000 bagi sebuah pangsapuri seluas 900 kps di bandar berbeza di Malaysia,”

Antara rumah mampu milik yang telah siap didirikan sebelum ini adalah Residensi Lanai , RUMAWIP (Residensi Wilayah), projek di bawah anak syarikat Berjaya Gold Resort yang terletak di Bukit Jalil.

Majlis Pelancaran penyerahan kunci rumah mampu milik, Residensi Lanai di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kekayaan yang dimiliki adalah ‘tuah’

Jelas Vincet Tan lagi, kekayaan yang beliau miliki ketika ini bukanlah menerusi sesuatu perkara yang beliau cupta sebaliknya ia adalah tuah selepas menerima banyak peluang antaranya pemilikan 7-Eleven selain memegang francais untuk rangkaian McDonald’s dan Starbucks

“Memang sewajarnya saya mengembalikan separuh kekayaan saya kepada masyarakat dan negara. Itulah perkara yang patut dilakukan”

Tan Sri Vincent Tan

Beliau menerusi temubual tersebut turut berharap perkara sama dapat dilakukan oleh golongan elit di Malaysia yang sudah berusia 70 ke atas .

“Saya sudah berusia 69 tahun dan akan berumur 70 tahun pada tahun depan. Saya fikir cukup-cukuplah. Saya telah bekerja sejak berusia 17 tahun, bermula dengan menjadi kerani di sebuah bank dan kini sudah bekerja tanpa henti selama 52 tahun,” katanya.

Menurut Forbes, Vincent Tan mempunyai harta sebanyak $750 juta (RM3.1 bilion) meletakkan beliau sebagai Jutawan ke 23 Paling kaya di Malaysia pada tahun 2020.

Antara perusahaan dan entiti yang dimilikinya adalah :

  • Sun Media Corporation Sdn Bhd
  • Berjaya Assets Berhad
  • Natural Avenue Sdn Bhd
  • 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad
  • CARiNG Pharmacy Group
  • Singer (Malaysia) Sdn Bhd
  • Intan Utilities Berhad
  • U Mobile Sdn Bhd
  • Cardiff City Football Club
  • FK Sarajevo Football Club
  • Koninklijke Voetbalclub Kortrijk


© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.